Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf: Pengeluaran KWSP garis panduan MKT Umno buat Ismail Sabri
Diterbitkan:  Jan 2, 2022 2:42 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara sekali keluar (i-Citra) merupakan garis panduan kepada Naib Presidennya Ismail Sabri Yaakob yang menjadi perdana menteri pada Ogos lalu.

Ini jelas Asyraf sudah tertakluk dalam ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Ogos.

Menurutnya, ketetapan mengenai pengeluaran KWSP itu wajar dilaksanakan Ismail Sabri selagi mana MKT tidak menarik balik ketetapan itu.

“Selagi MKT belum menarik balik ketetapan ini, garis panduan ini masih terpakai,” katanya pada hantaran di Facebook.

Ketua Pemuda Umno itu membidas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyoal niat pihak yang memperjuangkan hal itu.

Tegas Asyraf, pendirian Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai hal itu bukanlah baru atau terbatas kepada musibah banjir sahaja.

Pengeluaran I-Citra itu, katanya bagi “memenuhi hasrat dan menyantuni tuntutan rakyat” yang terdesak sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pasca PKP.

Jelasnya lagi, kenyataan Zahid itu hanya menegaskan kembali ketetapan MKT Umno pada 27 Ogos 2021 ketika menggariskan beberapa panduan utama kepada Ismail.

Asyraf turut memuat naik kenyataan Zahid yang meminta kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak membenarkan pengeluaran tersebut, serta kenyataan media mesyuarat MKT yang diperkatakan itu.

Antara lain, kenyataan media itu menuntut kerajaan menambah baik pakej bantuan rakyat, moratorium tanpa faedah terakru, bantuan kepada pengusaha yang terjejas oleh pandemik Covid-19, dan “pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000”.

Zahid dan Asyraf antara pihak yang terus memperjuangkan pengeluaran KWSP RM10,000 secara sekali keluar, lebih-lebih lagi apabila beberapa negeri dilanda musibah banjir.

Semalam, Tengku Zafrul berkata keputusan untuk membenarkan pengeluaran KWSP sekali lagi akan membebankan generasi akan datang menjelaskan kerajaan telah pun membenarkan pengeluaran sehingga RM71,000 sebelum ini gara-gara Covid-19.

Katanya, hampir 50 peratus atau enam juta pencarum tidak akan mendapat manfaat pengeluaran berkenaan kerana mempunyai baki caruman kurang RM10,000, yang mana 74 peratus daripada jumlah itu ialah bumiputera.

Tambahnya, langkah populis yang diperjuangkan sesetengah pihak bukan langkah tepat bagi memenangkan kebajikan rakyat kerana pengeluaran tambahan akan menjadikan jumlah pencarum dengan simpanan kurang RM10,000 meningkat kepada hampir tujuh juta orang.

"Jika betul pihak ini ingin memperjuangkan nasib orang Melayu, walaupun maklum ramai yang tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat sebenar memperjuangkan pengeluaran tambahan?" soal Zafrul.

Kelmarin, Ismail mengumumkan bantuan kerajaan bagi mangsa banjir, dan menyifatkan ia boleh membantu mangsa mengekalkan simpanan KWSP mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus sekali gus merancang masa depan lebih baik selepas bersara.

Antaranya, mangsa banjir yang mengalami kemusnahan rumah sepenuhnya akan mendapat bantuan sehingga mencecah RM61,000.

Bantuan tunai sehingga RM5,000 akan diberikan bagi setiap mangsa banjir bagi pembaikan rumah. Bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih dengan kos sehingga RM15,000, manakala kerajaan juga akan membantu kos sehingga RM56,000 untuk rumah musnah dan tidak boleh diduduki.

"Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

"Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah. Inilah usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP," katanya.

Antara yang lain lagi, mangsa juga ditawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih oleh Proton dan Perdoua, diskaun sehingga 50 peratus untuk alat ganti, baucar tunai RM1,000 untuk membaiki semua jenis kenderaan.

Lihat Komen
ADS