Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PM: Bantuan mangsa banjir rumah musnah total cecah RM61,000
Diterbitkan:  Dec 31, 2021 9:29 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Mangsa banjir yang mengalami kemusnahan rumah sepenuhnya akan mendapat bantuan sehingga mencecah RM61,000, maklum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada perutusan tahun baru malam ini.

"Kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

"Walau bagaimanapun, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000.

"Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru," katanya.

Menurut perdana menteri memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, kerajaan setuju memberikan wang tunai RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

"Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

"Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah. Inilah usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP," katanya lagi.

Dengan bantuan itu, Ismail Sabri berkata mangsa banjir boleh terus mengekalkan simpanan masing-masing dan menikmati dividen tahunan KWSP sekitar lima peratus sekali gus merancang masa depan lebih baik selepas bersara.

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberikan sinar baru kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Jelasnya, bantuan itu termasuk Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 yang sebelum ini diumumkan dan mula diagih sejak 27 Dis lepas, hanya 10 hari selepas kejadian banjir melanda berbanding tempoh agihan bantuan-bantuan sebelum ini yang memakan masa sehingga enam bulan.

“Ini akan memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah. Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara. Setakat hari ini, seramai 20,000 ketua isi rumah telah menerima bantuan ini,” katanya.

Selain itu, dia berkata bantuan juga termasuk baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir untuk menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir sepertimana diumum sebelum ini dan akan dilaksana bermula 7 Jan.

Katanya setiap mangsa juga ditawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih oleh Proton dan Perodua, di samping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti, manakala syarikat lain turut menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis berdaftar.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga menyediakan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua jenis kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain yang akan dimulakan bulan hadapan.

Kerajaan komited memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan akan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka yang memerlukan, jelasnya lagi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan kerajaan, NGO, sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

“Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan). Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di saluran stesen televisyen rasmi.


 

Lihat Komen
ADS