Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Penduduk bimbang air tasik di Bukit Cherakah jadi ‘teh tarik'

Penduduk di kawasan Seksyen U10 di Shah Alam sekali lagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap aktiviti pembersihan hutan di Bukit Cherakah, apabila mendapati kawasan tadahan air di situ sangat tercemar akibat hakisan tanah yang berlaku.

Menurut beberapa penduduk yang enggan mendedahkan identiti mereka, hakisan tanah itu berpunca daripada pembangunan di belakang kawasan kejiranan Perdana Heights di Shah Alam.

Menurut mereka, kawasan yang sedang dibangunkan itu berfungsi sebagai kawasan tadahan air semulajadi, dengan terdapatnya beberapa buah tasik di sekitarnya.

Salah seorang daripada penduduk turut mengadu bahawa air tasik yang dahulunya biru kehijauan kini bertukar menjadi “kolam teh tarik.”

Dia yang berkongsi gambar-gambar kesan selepas hujan lebat baru-baru ini berkata masalah utama merupakan mendapan (sediment) di kawasan tasik sehingga mengakibatkan paras air meningkat dari masa ke semasa.

“Tidak lama lagi, air akan mula membanjiri kawasan tersebut. Jangan sampai ia memusnahkan hidupan akuatik dan hanya balak-balak yang terapung.

“Semasa saya mula berpindah di sini, pemandangan kelihatan tenang - air berwarna hijau kebiruan yang cantik, sehingga boleh melihat ikan berenang di dalamnya.

“(Bagaimanapun), keadaan terkini di kawasan berhampiran telah menyebabkan kerosakan teruk terhadap persekitaran,” katanya yang telah menetap di Perdana Heights sejak tiga tahun lalu.

Sambil menjelaskan situasi semasa kawasan tersebut, dia berkata kerja-kerja pembersihan tanah mustahil untuk dijalankan tanpa melakukan letupan memandangkan struktur tanah tersebut berbukit.

“Saya dapati pintu, dinding kaca (rumah) bergegar-gegar apabila letupan berlaku. Memang menakutkan kerana kadang-kala (kami) berada di rumah mendengar letupan dan terkejut kerana ia (seperti) menggegarkan rumah,” katanya.

Katanya, ia bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap manusia tetapi juga kepada haiwan liar yang berisiko dari aktiviti itu.

“Baru-baru ini, seorang penghantar makanan dipatuk ular ketika menghantar pesanan,” katanya menambah haiwan liar termasuk ular melarikan diri dari kawasan hutan itu.

Tambahnya, hutan itu menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai spesies haiwan yang jarang ditemui termasuk tapir, di mana dia sempat merakam video seekor tapir yang seperti sedang hamil berjalan pada waktu malam.

Pembangunan agresif

Seorang lagi penduduk memberitahu Malaysiakini, kebimbangan utamanya merupakan kemusnahan alam semulajadi di kawasan persekitaran yang tidak seperti dahulu.

“(Air) di tasik tersebut sebelum ini kelihatan kehijauan, kebiruan dan jernih. Tetapi disebabkan pembersihan hutan, air (di tasik) tersebut kelihatan seperti teh tarik, amat buruk.

“Ia merupakan perkara yang jelas berlaku di kawasan kejiranan kami. Sekarang ia perlahan-lahan menunjukkan tanda-tanda tanah runtuh atau hakisan,” katanya yang bimbang kerana rumahnya di kawasan hujung dan berdekatan dengan cerun bukit.

Dia menetap di kejiranan Perdana Heights sejak September tahun lalu. Bagaimanapun, katanya sebagai seorang yang berulang alik di sekitar kawasan Puncak Alam, Perdana Heights dan Sunway Kayangan sebelum ini, dia telah menyaksikan aktiviti pembangunan yang sangat agresif, secara berperingkat.

Walaupun baru menetap di situ kurang daripada setahun, dia berkata dapat menyaksikan perubahan drastik dari segi pemandangan yang terjejas, sehingga menampakkan kawasan tersebut amat berdebu dan menyakitkan mata.

Katanya, dia sering mendengar letupan yang dipercayai untuk memecahkan batu.

“(Bunyi) gegaran dan jiran-jiran saya yang tinggal berdekatan dengan lokasi mendapat kesan yang tinggi daripada letupan itu,” katanya.

Bimbang banjir besar

Sebelum ini, kerja-kerja tanah dijalankan berdekatan dua buah tasik - salah satunya bersebelahan dengan kawasan kejiranan Perdana Heights di Shah Alam.

Kawasan berkenaan dikenali sebagai Kompartmen 35 hutan Bukit Cherakah. Laman web Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menyatakan tanah yang ditandakan sebagai Lot 57621 itu dimiliki oleh kerajaan negeri.

Rekod Pejabat Tanah dan Daerah pula menunjukkan terdapat satu pemaju yang memperoleh pajakan 99 tahun ke atas tanah itu pada 11 Ogos 2020. Gambar satelit memaparkan kerja pembersihan tanah telah pun bermula sebelum tarikh itu.

Gambar fail, kerja pembersihan di Kompartmen 35 hutan Bukit Cherakah.

Satu papan tanda Pejabat Tanah dan Daerah di tapak itu memperincikan permit kerja-kerja tanah hanyalah untuk September hingga November 2020 sahaja.

Penduduk ketiga yang ditemubual Malaysiakini berkata, meskipun pihak pemaju telah menghantar pekerjanya untuk memeriksa kawasan yang bermasalah itu dan melakukan sesuatu, apa yang pasti air di tasik itu masih tercemar.

“Ini sebenarnya menunjukkan (kesan) pembangunan ini, walaupun terdapat langkah berjaga-jaga yang diambil, ia mengakibatkan paras air meningkat dan berlakunya pencemaran.

“Ini adalah kebimbangan kami.. (kerana) ia pasti (akan) menyebabkan banjir besar,” katanya.

Dia turut berkongsi gambar perbandingan keadaan kualiti air di tasik tersebut.

“Paras air nampaknya semakin meningkat dari pemerhatian kami ini kami tertanya-tanya sama ada ia disebabkan oleh kenaikan di dasar tasik.

“Pemaju telah terus melakukan letupan terkawal - yang diluluskan oleh pihak berkuasa, di atas bukit walaupun hujan. Akibatnya kita melihat warna air berubah secara drastik,” katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah cuba menghubungi exco pelancongan, alam Sekitar dan hal ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berhubung aduan yang dibuat oleh penduduk setempat. 

Lihat Komen
ADS