Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM400j diterima Kelantan bukan royalti, tapi wang ihsan
Diterbitkan:  Jan 17, 2022 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Kerajaan Kelantan hari ini menjelaskan, negeri itu masih merundingkan bayaran wang royalti petroleum bersama Putrajaya.

Justeru katanya wang bernilai RM400 juta yang diberikan kerajaan pusat kepada Kelantan sebelum ini merupakan wang ihsan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Pejabat Menteri Besar Kelantan memberitahu wang RM400 juta itu bukanlah bayaran tunai royalti petroleum seperti yang pernah dituntut sebelum ini.

"Pemberian (RM400 juta) tersebut telah dimasukkan dalam Belanjawan Kelantan 2020 dan 2021," katanya.

Malam tadi bekas exco kanan Kelantan, Husam Musa, menegur kerajaan negeri dan menasihatkan mereka agar menguar-uarkan perbelanjaan daripada wang tersebut, selain berkongsi dengan rakyat di negeri itu.

Menggunakan peribahasa "bagai tikus jatuh ke genak (tempayan simpan) beras," bekas naib presiden Amanah itu mengingatkan agar wang royalti petroleum tidak disalahgunakan dengan bermewah-mewahan tanpa disumbangkan kepada rakyat.

“Setiap kali terima, kerajaan negeri tak maklum kepada rakyat Kelantan. Membisu saja. 'Lembu kenyanglah', katakan.

"(Sepatutnya) aturlah program biar rakyat jelata dapat mengecapi hasil bumi Kelantan seperti hasrat Bapa Pejuang Royalti - Tok Guru Nik Aziz. Jangan dibazirkan. Jangan pemimpin guna untuk bermewah,” katanya. 

Terdahulu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kerajaan Kelantan memperolehi peruntukan RM400 juta hasil daripada petroleum pada 2020 dan 2021.

Katanya, jumlah itu merangkumi lima peratus daripada hasil pengeluaran medan-medan pengeluaran minyak yang berdekatan negeri itu.

"Apa yang penting peruntukan secara langsung diterima sebelum 2019 berjumlah RM28 juta, di bawah kerajaan kerajaan sekarang kita salurkan RM200 juta pada 2020 dan 2021 kepada Kelantan iaitu lima peratus, kita tak ambil satu sen pun," katanya. 

Kelantan sebelum ini menyaman kerajaan pusat kerana berpendapat negeri itu berhak mendapat royalti daripada pengeluaran petroleum di kawasan perairannya.

Bagaimanapun kerajaan pusat yang ditadbir oleh BN hanya menyalurkan wang ihsan kepada Kota Bharu.

Semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui pentadbiran pusat, Kelantan menerima wang royalti tersebut namun di bawah kerajaan semasa, ia kembali menjadi wang ihsan.

Memberikan wang royalti petroleum itu adalah satu daripada janji dalam manifesto PH menjelang pilihan raya umum pada 2018.

"Kerajaan negeri sehingga kini masih lagi dalam proses rundingan dengan kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran royalti petroleum," kata Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Lihat Komen
ADS