Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli jawatankuasa dari pembangkang bantah tunda mesyuarat PSC
Diterbitkan:  Jan 17, 2022 7:23 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Kesemua empat ahli parlimen pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi- Agensi di Jabatan Perdana Menteri membantah keputusan pengerusi jawatankuasa itu, Abdul Latiff Abdul Rahman untuk menunda mesyuarat PSC pada Rabu ini.

Dalam satu kenyataan bersama, empat ahli parlimen itu berkata mereka tidak bersetuju dengan bantahan bertulis oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki terhadap mesyuarat itu, di mana dia dijadualkan memberi keterangan.

Empat Ahli Parlimen itu ialah Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan William Leong (PH-Selayang).

Mereka berkata Azam seharusnya menghadiri mesyuarat PSC tersebut bagi mengemukakan isu-isu yang dibangkitkannya, bukannya meremehkan surat panggilan pihak parlimen.

"Perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincangkan dan ditetapkan.

"Bidang kuasa PSC adalah bagi menentukan sama ada terdapat mekanisme yang efektif bagi menjalankan siasatan dan tindakan disiplin bagi perkara yang berlaku.

"Bidang kuasa PSC adalah untuk mengenalpasti sumber-sumber kuasa yang sedia ada dan sama ada ia mencukupi," kata mereka.

Selain itu, kata mereka, kuasa-kuasa parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberikan keterangan adalah selaras dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan oleh itu Azam sepatutnya menghormati perintah tersebut.

Sementara itu, empat ahli parlimen itu turut menggesa PSC menetapkan tarikh baru bagi mesyuarat berkenaan.

Terdahulu, Malaysiakini hari ini melaporkan Abdul Latiff Rahman (PAS-Kuala Krai) memaklumkan kepada lapan anggota jawatankuasa lain bahawa dia telah menerima maklum balas daripada Azam.

Azam antara lain berkata keterangannya kepada jawatankuasa berkenaan mungkin melanggar Peraturan Tetap Dewan Rakyat yang tidak membenarkan parlimen membincangkan perkara yang belum selesai di mahkamah. 

Azam telah memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang pemberi maklumat kerana mendakwanya memiliki pegangan ekuiti yang besar dalam syarikat senaraian awam, yang mungkin melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

Selain itu dia juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti. 

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sekiranya terdapat sebarang prosiding sivil atau jenayah telah dimulakan di mahkamah.

Tengah hari tadi, ahli jawatankuasa PSC secara rasmi dimaklumkan bahawa mesyuarat pada Rabu ini ditangguhkan kerana memerlukan beberapa pandangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang Parlimen terlebih dahulu.

Lihat Komen
ADS