Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UPM pertahan jumlah penerima PhD
Diterbitkan:  Jan 19, 2022 6:25 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Universiti Putra Malaysia (UPM) mempertahankan jumlah penerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah (PhD) hampir 400 kerana memiliki kekuatan tenaga akademik berkelulusan PhD hampir 1,700.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, UPM berkata ia mencerminkan kemampuan universiti itu dalam menghasilkan graduan PhD dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

"UPM mempunyai kekuatan tenaga akademik berkelulusan PhD seramai 1,649 orang yang layak menyelia pelajar PhD. 

"Ini mencerminkan kemampuan universiti dalam menghasilkan graduan PhD dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

"Jumlah graduan PhD yang dikeluarkan oleh UPM merupakan bilangan yang lazim dikeluarkan oleh universiti penyelidikan.

"Ini selari dengan amalan terbaik universiti terkemuka dunia di mana enrolmen pelajar PhD merupakan indikator kecemerlangan sesebuah universiti," kata Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin menggesa UPM memberi penjelasan berhubung penganugerahan seramai 398 penerima PhD pada Majlis Konvokesyen ke-44, 8 hingga 13 Januari lalu.

Katanya dia tertanya-tanya bagaimana UPM menganugerahkan begitu ramai graduan PhD sedangkan universiti universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun.

"Timbul tanda tanya bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan?

"Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya.

"Sedangkan 10 universiti terbaik dunia, jika diteliti graduan PhD yang dihasilkan tidak lebih 20 orang setahun. Misalnya universiti terulung dunia seperti Universiti Cambridge hanya melahirkan di bawah sepuluh oleh pelajar PhD setahun dalam lima tahun terakhir ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menjawab persoalan pemimpin PKR itu, UPM berkata dakwaan bahawa universiti terkemuka dunia yang hanya mengeluarkan tidak lebih daripada 20 graduan PhD setahun adalah tidak benar.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web rasmi, Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada tahun 2020 telah mengeluarkan 563 graduan PhD manakala Harvard University telah mengeluarkan 572 graduan PhD.

"Dari segi ranking dunia, MIT berada pada kedudukan pertama manakala Harvard University berada pada kedudukan kelima dalam QS World University Ranking 2022," kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS