Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo #TangkapAzamBaki: Polis tutup 6 jalan di KL, stesen kereta api terpilih

Enam jalan utama dan stesen terpilih merentasi semua landasan kereta api menghala ke pusat bandar akan ditutup esok sebagai sebahagian daripada langkah polis untuk menghalang perhimpunan bagi mengecam skandal melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata semua trafik akan dilencongkan dari Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail mulai 7 pagi.

“Bagi memastikan keselamatan awam dan ketenteraman awam, termasuk daripada risiko dijangkiti Covid-19, polis akan melakukan beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk lencongan jalan raya,” kata Noor Dellhan pada sidang media hari ini.

Noor Delhan berkata semua pengendali rel juga telah diarah menghentikan perkhidmatan di stesen terpilih di sepanjang laluan LRT Ampang-Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, MRT Sungai Buloh, monorel dan KTM.

Stesen LRT termasuk Bandaraya yang menghubungkan terus ke kompleks beli-belah Sogo di mana penganjur merancang untuk mengadakan perhimpunan 'Tangkap Azam Baki' mulai 11 pagi esok.

Noor Dellhan berkata perhimpunan yang dirancang itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang tidak membenarkan perarakan atau perhimpunan besar-besaran.

Selain itu, Noor Delhan berkata polis Dang Wangi telah mendapat perintah mahkamah berkuat kuasa selama tujuh hari mulai esok bagi menghalang sebarang perhimpunan di Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.

“Polis tidak akan berkompromi atau teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati masih berdegil dan menganjurkan atau menyertai mana-mana perhimpunan,” katanya.

Noor Dellhan mendedahkan bahawa polis setakat ini telah merekodkan kenyataan daripada 16 individu, termasuk lima ahli politik, berhubung siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bagaimanapun, Noor Delhan berkata polis tidak mengenal pasti penganjur perhimpunan kerana tiada notis rasmi dikemukakan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Protes #TangkapAzamBaki hadir susulan skandal pemilikan saham yang membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM.

Azam menjadi tumpuan baru-baru ini selepas timbul dakwaan mengenai dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Jan lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang hanya menggunakan namanya.

Lihat Komen
ADS