Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penganjur perhimpunan #TangkapAzamBaki memaklumkan, himpunan itu tetap diteruskan di lokasi baru esok, selepas polis mengumumkan penutupan semua jalan utama dan sejumlah stesen tren menuju ke kompleks beli-belah Sogo.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa bertindak himpunan itu berkata penganjur perhimpunan - yang disokong 33 NGO dan 11 entiti politik - akan berkumpul di sepanjang Jalan Bangsar berhampiran stesen LRT Bangsar mulai 11 pagi esok.

"Kami ambil maklum dan amat kagum dengan kerahan seramai 1,010 pegawai dan anggota PDRM bagi tujuan 'Operasi Menyelamat Azam Baki' yang menyebabkan sebahagian besar bandaraya Kuala Lumpur dalam keadaan ‘lockdown’ untuk hanya satu individu.

"Tindakan keterlaluan ini menimbulkan gambaran seolah-olah ada rahsia yang melibatkan watak-watak berprofil tinggi ingin ditutup, terutamanya berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa," kata kumpulan itu.

"Kita belum lupa, mantan perdana menteri Najib Razak sendiri pernah ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia disebabkan dia terpalit dengan rasuah.

"Sebaliknya Azam Baki hanya ketua pesuruhjaya SPRM tapi seolah-olah lebih kebal dan berkuasa berbanding orang yang pernah memegang jawatan tertinggi negara ini," tambah mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya awal hari ini mengumumkan penutupan enam jalan utama di sekitar pusat bandar raya dan penggantungan sementara operasi untuk 24 stesen LRT terpilih merentasi LRT laluan Ampang-Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, MRT Sungai Buloh talian, monorel dan KTM.

Protes itu digerakkan susulan skandal pegangan saham yang membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM, mendorong desakan untuk siasatan bebas terhadap dakwaan itu.

Azam menjadi tumpuan baru-baru ini selepas timbul dakwaan dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Jan lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang hanya menggunakan akaunnya.

Susulan itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyiasat kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan dalam kes itu.

Pada 18 Jan, SC mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka telah menamatkan siasatan mereka terhadap Azam dan berdasarkan bukti yang dikumpul, mereka "tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda) telah berlaku".

Bagaimanapun, berikutan kritikan meluas mengenai pengumumannya, SC mengeluarkan penjelasan pada hari berikutnya (19 Jan) dan ia menjelaskan bahawa ia tidak menemui bukti kejadian sedemikian.

Lihat Komen
ADS