Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri nafi MOU wujudkan monopoli pengambilan pekerja Bangladesh

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menafikan wujudnya sindiket atau monopoli dalam pelantikan Agensi Pengambilan Pekerja Bangladesh (BRA) susulan perjanjian pengambilan sejuta pekerja Bangladesh dalam tempoh lima tahun antara kedua-dua negara.

Menterinya M Saravanan berkata ini kerana memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai menyaksikan peningkatan daripada 10 kepada 275 agensi pengambilan pekerja.

"MOU antara Malaysia dengan Bangladesh bukan baru tetapi pembaharuan kepada yang ditandatangani pada 2016. Dalam MOU asal cuma 10 agensi BRA dibenarkan untuk pengambilan pekerja.

"Namun, dalam pembaharuan MOU saya mengambil inisiatif dengan menambahkan 25 BRA utama dan 250 sub-ejen. Jadi, jumlahnya adalah 275 agensi berbanding 10 sahaja sebelum ini.

"Sekiranya kami ingin monopoli pengambilan pekerja, kami boleh mengekalkan 10 agensi sahaja dengan alasan ianya telah dipersetujui dalam MOU asal. Jadi, tiada isu monopoli," katanya kepada Malaysiakini.

Saravanan mengulas dakwaan terdapat monopoli dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh selepas kerajaan bersetuju untuk melantik 25 BRA utama dan 250 sub-ejen.

Kebimbangan itu dibangkitkan Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira) yang tidak senang dengan jumlah itu.

Baira juga meminta peluang sama rata diberikan kepada hampir 1,600 ahlinya untuk dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia.

Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmad juga berkata pihaknya mahu menyingkirkan "sindiket" yang dibentuk oleh senarai agensi terpilih, satu amalan yang pada masa lalu dikaitkan dengan peningkatan kos dan pelbagai penyelewengan.

Saravanan memberitahu bahawa agensi yang bakal dilantik bukan dipilih oleh Malaysia secara terus dan agensi akan dinilai berdasarkan rekod prestasi dan beberapa kriteria lain.

"Perkara yang menarik adalah saya terima surat daripada Kerajaan Bangladesh memberitahu bahawa saya perlu pilih senarai pendek agensi yang disediakan oleh mereka.

"Jadi, mudah untuk kita memilih agensi daripada senarai yang disediakan oleh kerajaan Bangladesh dengan membuat penilaian sebelum dilantik," katanya lagi.

Berhubung sebab Malaysia hanya membenarkan 275 agensi dan bukan kesemua 1,600 agensi, Saravanan mendakwa ia bagi mengelakkan negara menjadi "tempat lambakan" pekerja asing.

"Saya tidak boleh memantau semua agensi jika terdapat peningkatan kos atau penyelewangan. Sekurang-kurangnya, sekarang (dengan 275 agensi) saya boleh pantau sekiranya terdapat salah laku," katanya.

'Dulu memang berlaku'

Dia turut menjelaskan tiada sebarang kos tambahan atau tersembunyi berhubung pengambilan pekerja dari negara itu.

"Tidak seperti proses sebelum ini di mana agensi tidak dibenarkan membuat permohonan bagi pihak majikan. Hanya majikan dibenarkan membuat permohonan terus kepada kementerian," katanya.

Katanya lagi, kementerian kemudian akan membuat penilaian terhadap syarikat, antaranya saiz perniagaan dan jika tambahan pekerja memenuhi syarat, sebelum menyerahkan permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk proses permit.

"Jadi, tiada sebarang bayaran di Kementerian Sumber Manusia," katanya.

Ketika pentadbiran PH, kerajaan pada 1 September 2018 menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) untuk pekerja Bangladesh - yang sebelumnya membolehkan pengambilan pekerja dibuat menerusi 10 agensi terpilih.

Rundingan untuk terma pengambilan yang baru diketuai menteri sumber manusia ketika itu, M Kulasegaran tertangguh beberapa kali, sehingga pentadbiran PH tumbang.

Dalam sistem terdahulu, setiap pekerja warga Bangladesh perlu mengeluarkan wang sehingga RM20,000 untuk membayar ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja serta keperluan lain di Malaysia.

Dalam pada itu, Saravanan mengakui terdapat sindiket yang menyebabkan pembayaran yang mencecah lebih daripada yang sepatutnya pada masa lalu.

"Ini antara punca berlakunya isu buruh paksa. Ini antara sebab kami cuba menghadkan jumlah penampilan agensi BRA yang memudahkan kami untuk buat pantauan," katanya.

Lihat Komen
ADS