Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Muhyiddin ikrar PN tak akan beri Umno laluan mudah di Johor
Diterbitkan:  Jan 27, 2022 9:10 AM
Dikemaskini: 9:16 AM

Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin berikrar bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN), khususnya Umno untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Katanya, kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu yang menunjukkan rakyat menolak parti berkenaan perlu diambil kira.

"Saya ambil pendirian bahawa walaupun PN 'underdog', kita tidak boleh memberi laluan mudah kepada Umno untuk membentuk kerajaan negeri begitu sahaja.

"Saya mengingatkan dalam PRU pun mereka kalah dan dapat dilihat orang Johor sudah bertindak begitu yang membuktikan mereka (rakyat) peka tentang apa yang mereka mahu," katanya yang dipetik portal Berita Harian, hari ini.

Perpecahan parti-parti “Keluarga Malaysia” yang menerajui kerajaan pusat pimpinan Ismail Sabri Yaakob semakin terserlah sejak akhir-akhir ini. Ia semakain memuncak berikutan pengumuman pembubaran DUN Johor, minggu lalu yang membuka laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Terdahulu, Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad berkata BN akan bertanding secara solo dalam PRN yang bakal diadakan, berdepan PN dan PH.

Bersatu dan PAS juga dikatakan tidak dirujuk dalam keputusan itu, walaupun mereka bersama-sama sebagai sekutu dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor.

Bersatu adalah parti utama dalam gabungan Peringkatan Nasional (PN) yang merangkumi PAS, Gerakan, Star dan SAPP sebagai rakan kongsinya manakala Umno pula adalah tunjang BN dengan MCA, MIC dan PBRS sebagai rakan kongsi. GPS adalah rakannya di Sarawak manakala PBS pula merupakan sekutunya di Sabah.

Semasa PRN Melaka dan Sarawak, masing-masih mengambil hala sendiri dan melawan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh PKR, DAP dan Amanah.

Bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad pernah memberi amaran bahawa Umno akan memusnahkan parti itu jika kedua-duanya bekerjasama.

Kedua-dua parti menyasarkan orang Melayu sebagai asas sokongan mereka.

Namun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika itu dilihat bimbang dengan pergelutan parti itu untuk meraih sokongan orang Melayu ekoran kerjasama dengan DAP, terutama selepas tewas dalam PRK Tanjung Piai pada 2019.

Muhyiddin kemudian membawa keluar Bersatu daripada PH dan mewujudkan kerjasama dengan pembangkang pada masa itu. Dia kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.

Namun 17 bulan kemudian, ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya menyebabkan dia hilang majoriti. Dia kemudian digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Buat masa ini, Bersatu kekal sebahagian dalam kerajaan pimpinan Umno tetapi Umno tidak berselindung dalam menyatakan hasratnya untuk melawan Bersatu dalam PRU15.

Dengan kemenangan besar di Melaka pada November lalu, PRN Johor dilihat sebagai usaha menguatkan momentum BN sebelum PRU15 diadakan.

Lihat Komen
ADS