mk-logo
Berita
Annuar: Media perlu patuh undang-undang atau berdepan tindakan
Diterbitkan:  Feb 2, 2022 5:22 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengingatkan media supaya mendukung prinsip pelaporan berita yang beretika dan mematuhi undang-undang negara.

"Pelaporan yang melanggar hak orang lain atau melanggar undang-undang tidak seharusnya berlaku dan mestilah dielakkan kerana ia boleh mengakibatkan pihak media berdepan tindakan sivil atau tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pun begitu, Annuar tidak menyatakan sebab dia memberikan peringatan sedemikian.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima banyak aduan mengenai pengamal media melibatkan media konvensional, media dalam talian serta media sosial yang melanggar etika dan undang-undang negara.

“Dalam hal ini saya percaya semua pengamal media mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian sendiri dan kekuatan moral untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

“Meskipun kerajaan amat menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” katanya lagi.

Pada Isnin, pejabat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis (gambar, bawah) terhadap tiga laman web.

Laman web tersebut telah menerbitkan artikel yang mendakwa Ismail Sabri telah "merayu" Perikatan Nasional supaya tidak menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

Pejabat Ismail berkata dakwaan itu berita palsu.

Laporan itu muncul selepas Bersatu dan PAS memberi amaran bahawa sokongan Perikatan Nasional kepada kerajaan pimpinan Umno adalah bersyarat.

Ketegangan antara Umno-BN dan PN semakin memuncak selepas DUN Johor dibubarkan, membuka jalan kepada pilihan raya mengejut.

PAS cuba merundingkan kerjasama dengan Umno di Johor, tetapi PAS hanya ditawarkan empat daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Lihat Komen
ADS