Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff mengeluarkan beberapa tips kepada pasangan suami isteri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Tips berkenaan termasuk memberitahu wanita untuk mengambil pendekatan berlembut dengan suami mereka, manakala suami menggunakan sentuhan fizikal yang "lembut" kepada isteri sekiranya tidak mendengar nasihat.
Dalam video pertama yang dimuat naik semalam, Siti Zailah berkata wanita yang berdepan kemarahan suami perlu menunggu sehingga suami mereka berada dalam keadaan tenang.
"Cara pertama tegur suami saat suami dalam keadaan tenang, sudah kenyang, selesai makan, selesai sembahyang, dalam keadaan rehat dan tenang.
"Apabila nak cakap minta izin, atau kita guna bahasa yang paling lunak supaya dia boleh terima teguran kita," katanya.
Dia berkata isteri juga boleh menggunakan bahasa ‘yang paling lunak’ ketika menegur suami.
Timbalan menteri itu berkata di saat suami sedang marah, adalah lebih baik isteri berdiam diri dan tidak berbalas cakap yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Sementara itu, dalam video yang disiarkan hari ini, Siti Zailah berkata, suami yang ingin membimbing isteri yang tidak mengikut perintah Allah seperti tidak menutup aurat atau melakukan perkara yang tidak disukai, hendaklah menasihati mereka terlebih dahulu.
Jika seseorang isteri itu tidak mendengar nasihat berkenaan, Siti Zailah berkata adalah dibenarkan dalam Islam bagi suami untuk tidur berasingan daripada isteri selama tiga hari, untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.
Namun, jika hal itu tidak berkesan, dia berkata suami boleh menggunakan sentuhan fizikal "lembut" terhadap isteri yang tidak taat.
"Sentuhan fizikal yang lembut, yang mendidik dengan penuh kasih sayang, yang tidak menyakitkan tetapi menunjukkan ketegasan kita betapa kita nak dia ubah perangai dia,” katanya.
Sekiranya isteri masih enggan menurut, Siti Zailah berkata para suami harus berdoa agar Allah membuka hati mereka untuk menerima hidayah.
‘Nasihat yang ‘merugikan’
Tips yang dikongsikan oleh timbalan menteri itu bagaimanapun mendapat kritikan sesetengah pihak.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, berkata nasihat Siti Zailah itu adalah "merugikan”.
“Pandemik ini menyaksikan peningkatan dalam kes penderaan rumah tangga dengan jumlah 9,015 kes dilaporkan - kebanyakannya (keganasan) terhadap wanita.
“Nasihat yang dikatakan oleh timbalan menteri ini adalah merugikan dan bertentangan dengan realiti dan keperluan semasa,” tulisnya di Twitter.
Nurul Izzah kemudiannya berkongsi artikel ulama Islam, Abdullah Hassan yang berpendapat bahawa al-Quran dan Islam tidak membenarkan suami memukul isteri - sama ada ringan atau tidak - atau mendera mereka.
Sebaliknya, Abdullah berhujah bahawa menunjukkan kemarahan tanpa keganasan fizikal harus menjadi pilihan terakhir dalam menangani isteri yang tidak taat.
Dia juga menyebut hadith di mana nabi sangat tidak menggalakkan suami memukul isteri mereka.
Ini bukan kali pertama Siti Zailah memberi nasihat mengenai isu keganasan rumah tangga yang menimbulkan kontroversi.
Pada April 2020, dia menyiarkan video yang mengakui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin memberi tekanan kepada keluarga, yang membawa kepada keganasan rumah tangga.
Sehubungan dengan itu, dia memberikan tiga kaedah untuk meredakan tekanan, termasuk mempunyai sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama.
Dia berkata mangsa penderaan rumah tangga perlu menghubungi Talian Kasih yang dikendalikan kementeriannya untuk mendapatkan bantuan.
Meskipun dia tidak berkata secara terang-terangan bahawa wanita perlu menerima, bersabar dan memaafkan pasangan yang bertindak ganas, sejumlah pihak, termasuk aktivis sosial Marina Mahathir, mentafsirkan mesej yang disampaikan konteks keseluruhan video, sebagai demikian.
