Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puluhan ribu rakyat Ukraine lari ke negara jiran
Diterbitkan:  Feb 25, 2022 4:16 AM
Dikemaskini: 8:10 AM

Puluhan ribu rakyat Ukraine lari menyelamatkan diri meninggalkan kediaman apabila tentera Ukraine bertempur dengan tentera Rusia pada Khamis, selepas Moscow melancarkan serangan terbesar ke atas negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua. 

Sebaik Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan perang, letupan dan tembakan kedengaran sepanjang hari di ibu negara dan tempat-tempat lain di Ukraine. Sekurang-kurangnya 70 orang dilaporkan terbunuh, lapor Reuters.

Menjelang malam, muncul gambar-gambar menunjukkan pertempuran sengit di pelbagai tempat. Presiden Volodymyr Zelenskiy pada Khamis mengarahkan gerakan selama 90 hari bagi “mempertahankan” negara itu. 

Seorang penasihat kepada pejabat presiden Ukrain berkata tentera Rusia menawan bekas loji kuasa nuklear Chernobyl, hanya 90km arah utara dari Kyiv. Loji itu berada di laluan tersingkat dari ibu negara Ukraine ke Belarus, tempat Moscow meletakkan tenteranya. 

Antara penduduk yang merentas sempadan ke Poland

Terdapat pertempuran di lapangan terbang Hostomel, luar dari Kyiv, tempat pasukan payung terjun Rusia mendarat. Seorang pegawai Ukraine kemudian berkata lapangan terbang itu berjaya ditawan semula, manakala seorang pegawai pertahanan kanan AS berkata tentera Rusia semakin menghampiri Kyiv. 

Bunyi berbalas tembakan dilaporkan di kawasan Sumy dan Kharkiv, di belah timur laut dan Kherson di selatan. 

Kesesakan berlaku di sepanjang lima laluan lebuh raya menuju arah barat dari Kyiv, apabila penduduk yang takut dengan serangan bedilan cuba keluar dari bandar yang menjadi tempat kediaman buat tiga juta penduduk itu. 

Agensi pelarian Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 100,000 warga Ukraine lari meninggalkan kediaman mereka. Beribu-ribu merentas ke sempadan negara jiran, termasuklah Romania, Moldova, Poland dan Hungary.

Menurut menteri kesihatan Ukraine, seramai 57 orang terbunuh anakala 169 lagi cedera pada Khamis. 

‘Senjata untuk siapa yang sedia untuk bertempur’

Hari malang itu bermula dengan seluruh Ukraine dilaporkan dihujani misil manakala tentera dan kereta kebal memasuki sempadan negara dari Rusia dan Belarus ke arah utara dan timur. 

Zelenskiy menggesa rakyat Ukraine mempertahankan negara mereka dan berkata senjata akan diberikan kepada sesiapa yang sedia untuk bertempur. 

“Apa yang kita lihat hari ini bukan hanya letupan misil, pertempuran dan bunyi gemuruh pesawat. Ini adalah bunyi (sempadan) Tabir Besi baru yang berlabuh dan menutup Rusia daripada dunia bertamadun,” kata Zelenskiy. 

Putin memberikan amaran: “Sesiapa yang cuba menghalang kami … harus tahu yang tindak balas Rusia adalah serta-merta. Dan ia akan membawa anda kepada kesudahan yang tidak pernah anda hadapi dalam sejarah anda.”

Presiden AS Joe Biden menolak menghantar tentera AS bagi mempertahankan Ukraine, tetapi Washington memberikan sokongan kepada rakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di rantau itu dengan tambahan tentera dan pesawat.  

Biden mengumumkan sekatan ke atas urus niaga Rusia dengan mata wang utama dunia, termasuk sekatan ke atas bank dan perusahaan milik negara itu, sementara Britain turut menyasarkan bank, serta pihak-pihak yang rapat dengan Putin. 

Pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah berkata tindakan mereka pula termasuklah membekukan aset Rusia di blok dengan 27 negara anggota itu.

China tidak masuk campur, namun menolak gambaran “pencerobohan” yang diberikan ke atas tindakan Rusia. 

Di Rusia pula, tidak semua bersetuju dengan serangan itu. Polis menahan 1,600 perarakan antiperang di 53 bandar dan pihak berkuasa mengancam untuk menyekat laporan media yang membawa “maklumat palsu”. 

Di tenggara pelabuhan Mariupol, berdekatan barisan hadapan dikuasai golongan pemisah yang mendapat sokongan Rusia di timur Ukraine, pihak berkuasa tempatan berkata 26 cedera oleh tembakan.

Rakyat mengemas barangan mereka. “Kami mahu bersembunyi,” kata seorang wanita. 

Duta Ukraine ke AS, Oksana Markarova, berkata tenteranya telah menjatuhkan dua helikopter dan tujuh pesawat Rusia dan memusnahkan beberapa traknya. Satu platun dari Briged Senapang Bermotor ke-74 Rusia juga katanya telah menyerah kalah.

Sasaran di darat musnah - Rusia

Menurut agensi berita Interfax, Kementerian Pertahanan Rusia pula berkata ia telah memusnahkan sasaran Ukraine di darat dan telah mencapai semua matlamatnya. 

Protes serangan Rusia turut diadakan di Eropah dan AS. Seorang peserta protes di AS yang dilahirkan di Ukraine, menggesa solidariti bersama Ukraine.

“Orang kehilangan nyawa. Rakyat Ukraine sedang bertempur dengan rejim dari Rusia ini dan ia benar-benar menyayat hati. Hari ini, saya rasa semua orang ialah warga Ukraine,” kata Ivana Lotoshynski. 

Lihat Komen
ADS