Dengan kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor sudah bermula, beberapa menteri dilihat menjalankan lawatan kerja ke negeri itu.
Ini termasuklah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Hadir memakai jaket yang tertera logo Kementerian Kesihatan dan perkataan "Kementerian Kesihatan" di belakangnya, menteri itu melawat beberapa klinik kesihatan serta pusat operasi pilihan raya BN di kerusi Layang-Layang di Johor.
Khairy memulakan kunjungannya hari ini dengan lawatan ke Klinik Kesihatan Layang Layang, yang terletak kira-kira 20km dari bandar Simpang Renggam, pada tengah hari tadi.
Khairy disertai oleh Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu dan calon BN untuk kerusi Layang-Layang Abd Mutalip Abd Rahim, yang diperkenalkan kepada beberapa anggota kakitangan.
Sesetengah dalam rombongannya juga memaparkan topi biru berlogo BN.
Khairy dan rombongannya kemudian dibawa ke perumahan kakitangan di dalam kawasan klinik, di mana Khairy menyapa beberapa penghuni termasuk seorang jururawat yang diberitahu agar "melihat bendera apabila keluar (untuk mengundi) dan membuat keputusan yang bijak" sebelum dia dan Mutalip ketawa.
Selepas menyelesaikan lawatannya di klinik, Khairy kemudian menuju ke bilik operasi BN Layang-Layang berhampiran di mana dia makan tengah hari dengan ahli parti dan menyampaikan ucapan untuk menyokong Mutalip.
Ketika itu,Khairy memakai jaket BN dan memakai topi "Keluarga Malaysia" semasa acara tersebut.
Dia kemudian menuju ke daerah mengundi lain di Pekan Bahru, sebelum tiba di Pusat Penilaian Klinik Kesihatan Simpang Renggam untuk sidang media.
Di situ, menteri itu diiringi oleh Aman dan juga ketua bahagian Umno Simpang Renggam, Zakaria Dullah, yang memakai baju biru BN manakala ahli parti lain memakai topi biru BN.
Apabila ditanya mengenai kunjungan itu semasa sidang medianya, Khairy menafikan bahawa ia adalah penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen.
"Tidak pernah saya katakan 'Hidup BN' semasa lawatan saya. Saya sangat jelas, lawatan rasmi hanya untuk perkara-perkara rasmi, tidak ada ucapan politik. Dan saya juga memakai jaket kementerian kesihatan.
"Selepas ini, apabila saya pergi melawat bilik operasi parti, saya akan menukar dan memakai baju BN. Saya juga menukar topi saya, jadi saya sangat jelas," katanya.

Khairy berkata ia adalah "adil" untuk meluangkan masa semasa kempen untuk mengunjungi kemudahan Kementerian Kesihatan.
"Lawatan mesti dibuat. Takkan saya datang Johor untuk jumpa calon saya tak datang lawat KKM.
“Tapi bukan saya guna pentas ni sebagai pentas nak kempen. Saya tak keluar pun perkataan kempen di sini. Tak ada pun saya bagi bantuan pada orang.
“Ia cuma lawatan kerja. Alang-alang dah ada kat sini, datang lah buat lawatan. Itu adil.
“Kalau saya guna pentas ni panggil doktor, jururawatcakap undi BN, lepas tu bagi beras, itu salah. Buat lawatan mcm ni ok. Itu profesional,” katanya.
Malah sebelum kempen secara rasmi bermula semalam, beberapa menteri telah menjalankan lawatan di beberapa bahagian di Johor atas alasan lawatan kerja.
Sebagai contoh, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, membuat kunjungan di Felda Pasak di Kota Tinggi dan Felda Bukit Batu di Kulai, dua hari sebelum hari pencalonan.
Dia juga melawat Tiram dan Tanjung Piai. Sebab untuk kunjungan itu dilakukan dikatakan adalah bagi pelancaran acara yang berkaitan dengan "Keluarga Malaysia".

Sehari kemudian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican melawat tapak projek projek perumahan Masai dan Flat Cendana di Pasir Gudang, Johor, yang berada di bawah bidang kuasa menteri.
Dia turut menghadiri pelancaran calon pilihan raya BN dan mengikuti rombongan pengerusi penasihat BN Najib Razak berkempen.
Para menteri dilihat mencampur adukkan lawatan rasmi mereka dengan kerja parti untuk mengelakkan tuduhan secara langsung menyalahgunakan jentera kerajaan.
PN, yang berkempen dengan mesej ntegriti dan memerangi rasuah, juga mengamalkan strategi yang sama.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin telah menggunakan kapasitinya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara untuk mendekati pengundi Felda menjelang PRN Johor.
Sesi itu dianjurkan dengan bantuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad, yang merupakan pemimpin Bersatu. Muhyiddin merupakan presiden Bersatu.
Kempen untuk PRN Johor bermula semalam. Hari mengundi pada 12 Mac.
