Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Terima Najib, lembaga sekolah Foon Yew beri contoh buruk pada murid'
Diterbitkan:  Feb 28, 2022 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

PRN JOHOR | Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, yang merupakan antara individu paling giat membangkitkan isu 1MDB sebelum ia akhirnya menjadi perhatian global sebagai “kleptokrasi paling teruk”, mengkritik apa yang disifatkannya sebagai keadaan yang “rosak” dalam masyarakat.

Ia selepas Sekolah menengah Foon Yew, iaitu sekolah persendirian Cina terbesar di Malaysia, menerima kunjungan bekas perdana menteri Najib Razak yang telah disabit bersalah atas tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dalam kes RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB.

“Lembaga pentadbiran sekolah memberikan contoh terburuk kepada anak-anak kita, dengan memberitahu mereka yang tidak mengapa untuk menipu, mencuri, menyalahgunakan kuasa dan membuli mereka yang lemah, asalkan anda kaya dan berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Pua berkata barisan kepimpinan sekolah itu patut disingkirkan kerana tiada integriti dan gagal menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar.

“Pendidikan sentiasa menjadi isu yang dekat di hati masyarakat Cina.

“Tetapi jika inilah hala tuju sekolah kita yang ingin dibawa mereka, maka kita menuju ke arah kerosakan dalam budaya, kewajaran dan maruah kita,” katanya lagi.

Tony Pua

Pada 24 Februari lalu, Najib berkunjung ke Sekolah Menengah Foon Yew di Seri Alam, Johor Bahru dan menyampaikan ucapan yang menggesa masyarakat Cina menyokong BN.

Najib meluluskan pembinaan sekolah itu ketika 2013 ketika menjadi perdana menteri dan berkata dia berbuat demikian walaupun tidak dipersetujui menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Najib juga meluluskan cawangan sekolah itu di Kulai ketika menjadi menteri pendidikan pada 1999.

Pengerusi Sekolah Menengah Foon Yew Tay Chin Hein mendakwa kunjungan itu atas permintaan Najib, dan pihak sekolah berterima kasih kepadanya dan enggan mencetuskan salah faham.

Namun Najib semalam mendakwa dia diundang ke sekolah itu.

“Apabila sekolah persendirian Cina terbaik - Foon Yew di Johor mengundang penjenayah terbesar negara yang menyelewengkan jutaan ringgit, kalau pun bukan berbilion ringgit milik pembayar cukai, kleptokrat yang dikenali seluruh dunia untuk bercakap di sekolah - menjelang PRN Johor, anda tahu yang ada sesuatu yang benar-benar rosak dalam masyarakat,” kata Pua.

Kempen bagi PRN Johor bermula Sabtu lalu (26 Februari). Pengundi Johor akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.

[Baca berita asal]

 

 

 

Lihat Komen
ADS