Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MN: Biarlah dalam satu lipatan yang tak perlu dibuka lagi - Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk jelas tentang masa depan Muafakat Nasional (MN) dengan menyatakan kerjasama politik antara parti itu dan PAS “biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.”

"Bukan kita tidak mahu malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong," katanya ringkas dalam sidang media ketika meninjau Pusat Daerah Mengundi Kota Kecil Timur di Kota Tinggi, Johor semalam.

Turut sama dalam tinjauan Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN, adalah calon parti itu bagi kerusi DUN Sedili Muszaidi Makmor dan DUN Johor Lama Norlizah Noh.

Dia mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dua hari lalu yang mengatakan bahawa MN masih belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya.

Katanya status MN akan dilihat semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Belum ada kubur, belum ada batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkan Muafakat Nasional ditamatkan. Secara prinsipnya, walaupun dia tak nampak hidup tapi dia tak mati, statusnya sebagaimana ada,” kata Tuan Ibrahim di Muar.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata prestasi Hasni Mohammad sebagai menteri besar Johor amat mengagumkan meskipun tempoh perkhidmatannya singkat.

"Dari Mac 2020 hingga DUN dibubarkan, prestasi yang diperlihatkan olehnya amat mengagumkan. Dalam tempoh yang paling singkat, dia telah dapat memberikan kemajuan yang sepatutnya kepada Johor," katanya.

Dia turut memberi jaminan bahawa keseluruhan janji BN di dalam manifesto Ikhtiar BN Johor akan dilaksanakan sepenuhnya.

BN, yang meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN, sebelum ini menyatakan bahawa Hasni akan terus menjadi menteri nesar sekiranya parti itu mendapat mandat baru dalam PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS