Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zahid: Muhyiddin janji perpaduan Melayu Islam, rupa-rupanya...
Diterbitkan:  Mar 6, 2022 11:48 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjanjikan perpaduan atas nama Melayu-Islam untuk mendapatkan sokongan bagi menjadi perdana menteri dua tahun lalu.

"Dia (Muhyiddin) kata saya yang mahu menyokongnya jadi perdana menteri bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan, lalu dia pun jadi perdana menteri.

"Tetapi dia tidak kata bagaimana proksi-proksinya berusaha gigih memujuk wakil rakyat bukan PH termasuk daripada Umno agar menyokongnya jadi perdana menteri.

"Menjanjikan sebuah perpaduan yang jujur dan ikhlas atas nama Melayu dan Islam, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu dengan kuasa sebagai perdana menteri," kata Ahmad Zahid dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Dia berkata demikian mengulas ucapan Muhyiddin dalam kempen PIlihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Dalam ucapan tersebut, Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri, dua tahun lalu.

‘Tak henti-henti seru nama saya’

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata dia tidak mahu mengulas perkara itu kerana ada agenda lebih penting, namun Muhyiddin tidak berhenti-henti ‘menyeru’ namanya.

"Saya sebolehnya tidak mahu mengulas tentang bekas tokoh politik kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin bin Md Yasin kerana kita ada agenda yang lebih penting.

"Agenda penting kita bersama rakyat Johor untuk memastikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan dikembalikan di Johor pada 12 Mac ini.

"Tetapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak henti-henti 'menyeru' nama saya," jelasnya.

Menerusi Langkah Sheraton pada Feb 2020, Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) sehingga menyebabkan kerajaan yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad ketika itu tumbang. Langkah politik itu turut disokong oleh Umno dan PAS.

Sebelum itu, Bersatu juga berjaya memujuk 15 ahli parlimen Umno menyertai parti tersebut.

Muhyiddin kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.

Namun 17 bulan kemudian, ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya menyebabkan dia hilang majoriti. Muhyiddin kemudian digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata Muhyiddin mahu memperkukuhkan kedudukan partinya dan jawatannya dengan cuba melemahkan Umno serta 'mencuri' dan 'membeli' ahli Umno

"Mungkin kerana itu dia begitu marah kepada saya, pimpinan serta ahli akar umbi Umno kerana dapat menghidu muslihatnya dan bertindak,” katanya.

Lihat Komen
ADS