Pucuk pimpinan tertinggi Umno diminta mengambilkira pandangan ahli-ahli parti di pelbagai peringkat yang semakin lantang membantah cadangan penggabungan dua kumpulan media Kumpulan Utusan dan New Straits Time Press (NSTP).

Penganalisis politik tempatan, Ibrahim Suffian berkata, berdasarkan tindakan ahli-ahli parti, termasuk beberapa anggota kabinet yang secara terbuka membantah cadangan penggabungan itu kebelakangan, maka pucuk pimpanan Umno yang sebelum ini "merestui" cadangan tersebut, perlu menilai balik pendirian mereka.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta dua Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasssin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebelum ini menyokong cadangan penggabungan itu.

Antara menteri kabinet yang tegas membantah cadangan penggabungan itu ialah Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zahid Hamidi.

Cadangan penggabungan tersebut juga turut ditentang oleh pelbagai peringkat ahli Umno, ahli Parlimen dan Senator serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang khuatir ia akan mengikis agenda perjuangan Melayu di bawah kumpulan Utusan dan menjejaskan kebebasan akhbar negara ini.

Ibrahim berkata, kalau benar ahli-ahli di akar umbi membantah cadangan penggabungan ini, maka Umno mungkin perlu mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa bagi merumuskan satu keputusan muktamad.

Cadangan penggabungan Kumpulan Utusan dan NSTP mendapat perhatian awal bulan ini apabila kedua-dua syarikat mengesahkan sedang berunding untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, pengumuman cadangan penggabungan tersebut yang sepatutnya dibuat pada 4 Disember lalu, ditangguhkan setelah syor tersebut mendapat bantahan sebahagian besar ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Perjuangan orang Melayu

Mereka tidak menyenangi cadangan penggabungan itu dan khuatir langkah korporat tersebut akan menghapuskan identiti dan sejarah kedua-dua akhbar yang mempunyai kaitan rapat dengan perjuangan orang Melayu.

Ibrahim berkata, tidak dinafikan banyak faedah ekonomi dapat diraih dari penggabungan tersebut tetapi pendapat ahli dan pemegang saham, termasuk pemegang saham minoriti, perlu didengar terlebih dahulu.

Seorang lagi pemerhati politik, Prof. Dr Shamsul Amri Baharuddin pula berkata, pihak yang menguruskan cadangan penggabungan ini perlu bersikap lebih telus supaya maklumat lebih terperinci dapat diperolehi oleh para pemegang saham, ahli Umno dan orang Melayu.

"Sekarang ini orang ramai seperti meraba dalam gelap, masing-masing menyatakan bantahan dan sokongan tanpa mengetahui butir-butir cadangan ini," ujarnya.

Tanpa sebarang dokumen yang konkrit, katanya, bagaimana hendak menilai kebaikan dan keburukan cadangan tersebut.

"Saya diberitahu, sekumpulan ahli-ahli Pemuda Umno telah menemui beberapa orang menteri Umno sejak dua minggu lalu melobi mereka supaya membantah cadangan penggabungan itu, sedangkan kumpulan itu sendiri belum melihat dokumen cadangan tersebut.

"Inilah kelebihan politik orang Melayu, mereka membincangkan sesuatu tanpa berdasarkan dokumen atau hitam putih. Adakah ini didorong oleh sentimen nasionalisme atau faktor komersil. Kalau betul atas dasar nasionalisme, kenapa dibiarkan akhbar Utusan Melayu dalam versi jawi berkubur?"

Beliau menambah, semua pihak perlu menunggu dokumen cadangan, kemudian membaca dan menilainya sebelum menyatakan bantahan atau sokongan.