Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Bagaimana perubahan iklim mencetuskan banjir?

PANDUANKINI l Banjir di Lembah Klang semalam adalah antara banyak kejadian terbaru yang mendorong rakyat Malaysia menyedari akan kesan perubahan iklim.

Tetapi jika pemanasan global adalah mengenai kenaikan suhu, bukankah ia sepatutnya menyebabkan kemarau dan bukannya banjir?

Berikut ialah pencerahan mengenai bagaimana semuanya berkaitan.

Apa itu perubahan iklim?

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) mentakrifkan perubahan iklim sebagai perubahan dalam suhu atmosfera dalam tempoh masa yang lebih lama, biasanya lebih daripada satu dekad.

Ia mungkin disebabkan oleh proses semula jadi atau gabungannya dengan aktiviti manusia.

Sejak tahun 1800-an, aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil telah menjadi pemacu perubahan iklim.

Aktiviti ini menghasilkan pelepasan gas rumah hijau, yang memerangkap haba di sekeliling bumi dan meningkatkan suhu.

Adakah peningkatan suhu berlaku di Malaysia?

Ya.

Menurut data yang dikumpul oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, purata suhu permukaan Malaysia meningkat antara 0.14 hingga 0.25 darjah Celcius setiap dekad antara tahun 1970 hingga 2013.

Purata suhu Malaysia berada pada trajektori menaik sejak 1964 iaitu 24.93 darjah Celcius. Menjelang 2020, suhu purata ialah 26.05 darjah, kira-kira satu darjah lebih panas.

Sebuah badan pemikir Khazanah Malaysia, Think City, menunjukkan bagaimana bandar menanggung kesan itu.

Sebagai contoh, suhu purata di Ipoh meningkat 6.75 darjah Celcius antara 1998 hingga 2019, manakala suhu permukaan di Johor Bahru pula naik 6.7 darjah Celcius antara 2005 hingga 2018.

Pusat Bandaraya Kuala Lumpur pula mengalami kenaikan 1.64 darjah antara 1989 dan 2019.

Badan pemikir itu berkata ini berkemungkinan disebabkan oleh kesan pulau bahang bandar (urban heat island), fenomena apabila bahan yang digunakan di bandar seperti konkrit dan bitumen menyerap dan memancarkan semula haba matahari lebih daripada landskap semula jadi.

Jadi ia semakin panas - tetapi apa kaitannya dengan banjir?

Lazimnya, seseorang akan menjangkakan kemarau dalam berdepan dengan peningkatan suhu.

Walaupun gelombang haba dan kemarau adalah antara kesan perubahan iklim, kenaikan suhu juga menyebabkan lebih banyak hujan di kawasan setempat.

Ini kerana suhu yang lebih panas akan menyebabkan lebih banyak air tersejat dari daratan dan lautan, dan mengubah corak hujan.

Dianggarkan bahawa atmosfera mengekalkan tujuh peratus lebih banyak kelembapan untuk setiap kenaikan satu darjah.

Memandangkan lebih banyak kelembapan di atmosfera, hujan seterusnya menjadi lebih lebat, seterusnya membawa kepada banjir.

Perubahan suhu juga mempengaruhi sistem cuaca monsun, yang mengawal taburan hujan.

Ini bermakna taburan hujan semakin sukar diramalkan, dan ia mungkin datang dalam jumlah besar hingga menyebabkan banjir di satu-satu kawasan, dan tiada hujan dalam tempoh yang lebih lama di tempat lain, sehingga menyebabkan kemarau.

Adakah ini yang berlaku di Lembah Klang semalam?

Menurut Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man, dua stesen cuaca di Kuala Lumpur merekodkan bacaan hujan 106.5mm dan 155mm dalam tempoh hanya dua jam.

Ini adalah kira-kira separuh daripada hujan yang biasanya dalam sebulan.

Hujan yang luar biasa itu menyebabkan tebing sungai melimpah dan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampungnya.

Adakah ia berlaku secara tiba-tiba?

Tidak semestinya. Pelbagai kajian menunjukkan bahawa purata taburan hujan setiap jam di Semenanjung Malaysia telah meningkat sejak pertengahan 1970-an.

Data Jabatan Meteorologi menunjukkan peningkatan 13 peratus purata hujan tahunan di Semenanjung Malaysia dari 2013 hingga 2017.

Adakah kita menjangkakan lebih banyak seperti ini?

Malangnya, ya.

Pemodelan oleh Jabatan Meteorologi menunjukkan bahawa Malaysia boleh mengalami kenaikan suhu antara 0.7 hingga 2.6 darjah Celcius dalam beberapa dekad akan datang.

Ini boleh menyebabkan perubahan taburan hujan sebanyak berkurangan 30 peratus dalam bulan-bulan tertentu dan berlebihan 30 peratus hujan dalam bulan-bulan yang lain dalam setahun.

Menurut laporan Bank Pembangunan Asia, pemodelan menggunakan pelbagai senario kesan gas rumah hijau menunjukkan jumlah penduduk yang semakin ramai terdedah kepada banjir pada masa hadapan.

Di bawah senario RCP8.5, tambahan 70,000 orang akan terjejas akibat banjir di Malaysia pada 2030, dengan kerosakan meningkat sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.53 juta).

RCP8.5 merujuk kepada senario yang pelepasan terus meningkat tanpa campur tangan, dengan kata lain, senario perubahan iklim kes terburuk.

Secara purata, seramai 175,502 orang diunjurkan akan terdedah kepada banjir melampau pada 2035 hingga 2044, kata laporan itu.

Lonjakan ini kira-kira 40 peratus lebih tinggi daripada mereka yang terdedah kepada banjir melampau dalam tempoh 1971 hingga 2004.

Apa yang kerajaan lakukan?

Tahun lalu, kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) yang ditugaskan untuk menetapkan hala tuju dasar mengenai mitigasi perubahan iklim.

Antaranya, ialah rancangan mengurangkan pelepasan rumah hijau sebanyak 165 juta tan karbon dioksida dan mengurangkan perbelanjaan bahan api sebanyak RM150 bilion.

Tetapi apa yang kerajaan lakukan terhadap banjir?

Semalam, Tuan Ibrahim berkata kementeriannya telah memohon dana RM393 bilion untuk langkah tebatan banjir jangka panjang.

Dia sebelum ini memberitahu Parlimen langkah ini, termasuk membina tambak dan benteng, akan dilaksanakan dalam tempoh 50 tahun.

RM13.4 juta juga diperuntukkan untuk menaik taraf sistem perparitan di daerah Klang, yang paling teruk terjejas dalam banjir Disember 2021, katanya.

Menurutnya, projek pembangunan masa depan akan juga merangkumi langkah-langkah tebatan banjir, yang akan diwajibkan dalam Rang Undang-undang yang akan datang mengenai perubahan iklim.

Lihat Komen
ADS