Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Banjir kilat landa Lembah Klang
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 5:07 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Beberapa bahagian di sekitar Lembah Kelang, termasuk Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, petang tadi.

Antara kawasan tersebut yang dilaporkan terjejas teruk termasuk di Kuchai Lama, Pudu dan Bukit Jalil.

Sehingga 5 petang tadi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengesahkan air terus meningkat di Dang Wangi iaitu di Jalan Sultan Ismail, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Raja Laut dan Jalan Kia Peng.

Beberapa sungai juga dilaporkan mula melimpah, antaranya di Sentul, Jambatan Sulaiman, Lebuh Pasar dan Jalan Parlimen, manakala paras air di Sungai Gombak dikatakan pada tahap berbahaya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis mengesahkan menerima laporan daripada Bandar Baru Sungai dan Kg Melayu di Sungai Buloh, serta Kg Gombak, Kg Kundang dan Kg Sg Serai di Batu Arang.

Lebuhraya Pantai Baharu dalam satu hantaran di Twitter memaklmumkan bahawa Terowong Kuchai telah ditutup sejak jam 4.20 petang, tadi dan menasihatkan pengguna lebuh raya mencari laluan alternatif.

Sementara itu, pada jam 4.45 petang, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd memaklumkan Terowong Smart ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi banjir.

Warga maya juga mula berkongsi gambar dan laporan yang memaparkan lebuh raya yang dinaiki air, dengan ramai yang cuba menyelamatkan kenderaan masing-masing.

Turut mencuri tumpuan adalah gambar yang memaparkan kereta peronda polis yang tenggelam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor menjelaskan bahawa kejadian berlaku di Kuchai Lama.

Dalam satu kenyataan, katanya, anggota polis tersebut berhenti seketika untuk solat di sebuah balai dan secara tiba-tiba hujan lebat.

Anggota berkenaan cuba meninggalkan kawasan itu kemudian tetapi terperangkap dengan kenderaan lain yang juga tidak dapat bergerak.

Anggota tersebut terpaksa meninggalkan kereta peronda setelah air semakin naik dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan banjir kilat di Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam.

Pusat bandar Kuala Lumpur

Pudu

Bukit Jalil

Kuchai Lama

Sungai Buloh

Lihat Komen
ADS