Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M’sia dijangka berdepan ribut lebih kuat - pakar
Diterbitkan:  Mar 11, 2022 3:27 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Malaysia dijangka mengalami siklon atau ribut yang lebih kuat dalam masa terdekat berikutan peningkatan suhu, kata pakar perubahan iklim.

Saintis alam sekitar dari Universiti Putra Malaysia Haliza Abdul Rahman berkata, ia berdasarkan simulasi yang dilakukan untuk tempoh 100 tahun dengan menggunakan 10,000 tahun data simulasi.

"Simulasi bagi tekanan pusat pada tahap maksimum ribut untuk masa akan datang menunjukkan bahawa kawasan termasuk Malaysia, mungkin berdepan dengan siklon tropika yang lebih hebat dalam masa terdekat," katanya.

Dia berkata keadaan cuaca yang lebih ekstrem boleh dikaitkan dengan perubahan iklim, di mana suhu yang lebih tinggi menjurus kepada peningkatan kelajuan angin.

"Apabila lebih banyak penyejatan wap ke atmosfera, ia menjadi haba untuk ribut yang lebih kencang berlaku. Lebih banyak haba di atmosfera dan suhu permukaan laut yang lebih tinggi boleh menjurus kepada peningkatan kelajuan angin dalam ribut tropika," katanya.

Dia menambah bahawa unjuran menunjukkan bahawa beberapa lokasi di Malaysia mungkin menghadapi peningkatan suhu yang tinggi, dengan akan terdapat penduduk yang terpaksa bertahan lebih daripada 240 hari setahun di dalam suhu melebihi 35 darjah celcius pada tahun 2050an.

“Pada 2090, sebahagian besar semenanjung Malaysia mungkin berdepan dengan masalah yang sama," kata profesor madya yang telah mengarang pelbagai jurnal berhubung isu itu.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas situasi banjir kilat yang melanda di Lembah Klang baru-baru ini, yang disebabkan jumlah taburan hujan yang luar biasa.

Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man berkata berdasarkan data purata, hujan di Kuala Lumpur akan turun dalam tempoh dua jam pada Isnin, dalam masa sekitar dua minggu - di mana dia mengaitkan perkara tersebut dengan perubahan iklim.

Pada Disember tahun lalu, ribuan penduduk Lembah Klang telah dipindahkan berikutan hujan lebat selama beberapa hari, sehingga menyebabkan banjir dan 55 nyawa terkorban dalam banjir tersebut.

Haliza berkata sehingga Ogos 2018, 281 orang kehilangan nyawa akibat kejadian bencana alam, manakala lebih 3 juta terjejas dengan kos hampir AS$2 bilion (RM8.38 bilion).

Bencana banjir sahaja menyumbang kepada 70 peratus kerosakan yang dialami, antara tahun 1998 hingga 2018.

Ia melibatkan 770,000 orang dan meragut 148 nyawa. Ini termasuk kesan kepada ekonomi, di mana dianggarkan kira-kira RM5.8 bilion.


PANDUANKINI: BAGAIMANA PERUBAHAN IKLIM MENCETUSKAN BANJIR?


Peningkatan 0.4 darjah celcius setiap dekad dalam tempoh 40 tahun lalu

Menurut Haliza, data Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan bahawa Malaysia telah mengalami "peningkatan cuaca yang ketara dan berterusan”, dengan jumlah purata sebanyak 0.4 darjah celcius peningkatan setiap dekad, sejak empat dekad yang lalu.

Jelasnya, pelepasan karbon dioksida meningkat pada kadar yang lebih tinggi antara tahun 1990 hingga 2010.

Ini menyebabkan perubahan suhu daripada 0.7 hingga 2.6 darjah celcius.

Ini bermakna sesetengah lokasi mengalami hujan yang lebih lebat daripada biasa, manakala di sesetengah lokasi lain mengalami kemarau atau keadaan yang lebih kering.

Tambahnya, keadaan itu dapat dikaitkan dengan peningkatan dalam pelepasan gas rumah hijau dan keadaan alam sekitar yang semakin merosot berikutan peningkatan penduduk dan pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat.

“Oleh itu, negara mengalami peningkatan hujan yang banyak sejak beberapa tahun, sehingga menyebabkan peningkatan insiden banjir, tanah runtuh, ribut taufan, dan perkara lain yang berkaitan dengan cuaca,” katanya.

Tambahnya lagi, negara tidak mempunyai pilihan dalam isu ini. Maka, kerajaan perlu menanggung beban tambahan itu.

"Kita tidak mempunyai pilihan, kerajaan perlu menanggung beban tambahan ini,” katanya.

Katanya, untuk mengatasi perkara ini, kerajaan boleh melakukan pelbagai inisiatif bagi mengelakkan perbelanjaan dengan kos besar berikutan bencana alam sedemikian.

Antaranya menyediakan sistem amaran awal yang dapat dipertingkatkan, pengawalan yang lebih baik dan penyampaian maklumat yang lebih efisyen.

Lihat Komen
ADS