Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Langgar baiah, Khairuddin serah elaun MP pada PAS hingga PRU15
Diterbitkan:  Mar 14, 2022 5:12 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Susulan pengumuman keluar daripada PAS, Khairuddin Aman Razali akan menyerahkan semua elaun bulanan sebagai ahli parlimen kepada parti itu sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU)

Ahli parlimen Kuala Nerus itu berkata, ia sebagai memenuhi baiah yang dibuat ketika bertanding dalam PRU lalu sebagai calon PAS.

"Saya akan serahkan semua elaun bulanan sebagai ahli parlimen pada waktu berbaki sehingga ke PRU15 sebagai memenuhi baiah yang dibuat ketika bertanding dalam pilihan raya.

"Saya mendoakan PAS terus maju jaya sebagai parti yang membawa ideologi Islam dan sebagai Muslim saya akan terus memperjuangkan dasar PAS iaitu Islam, seruan PAS iaitu Allahuakbar dan tujuan serta usaha PAS seperti yang termaktub dalam perlembagaan PAS yang semuanya selaras dengan kehendak Islam," katanya pada sidang media di parlimen, hari ini.

Terdahulu bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu mengumumkan keluar daripada PAS hari ini.

Menurutnya, surat berhubung keputusan itu telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengikut perlembagaan PAS.

Sebagai rekod, elaun bulanan bagi ahli parlimen dianggarkan adalah sebanyak RM16,000 sebulan.

Sebelum ini menjadi amalan bagi PAS untuk mewajibkan calon-calonnya melafazkan baiah atau sumpah taat setia sekiranya dipilih bertanding dalam pilihan raya.

Pada 2018, PAS dilapor menggugurkan sumpah baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon-calon parti itu pada PRU 14, yang sebelum itu mencetuskan kontroversi.

Ketua Dewan Ulamanya, Dr Mahfodz Mohamed ketika itu berkata, ia berikutan kesetiaan ahli dan kekuatan parti itu didakwa semakin kukuh.

Sementara itu, Khairuddin menyeru semua ahli PAS untuk terus istiqamah dengan perjuangan dan memperjuangkan Islam menerusi wadah PAS.

Ditanya sama ada keputusan itu berkaitan dengan kritikannya terhadap PAS sebelum ini, Khairuddin menegaskan ia adalah sebahagian tugas sebagai ahli parti dan rakyat Malaysia.

"Itu sebahagian tugas sebagai ahli parti dan tugas saya sebagai rakyat Malaysia untuk terus memberikan pandangan berdasarkan hadis nabi, bahawa agama itu adalah nasihat.

"Maka saya akan terus memberikan nasihat-nasihat saya kepada parti politik di Malaysia termasuk PAS dan apa sahaja ketidakselarasan daripada sudut peraturan yang berjalan saya akan tegur," katanya.

Lihat Komen
ADS