Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairuddin keluar PAS, isytihar diri MP Bebas
Diterbitkan:  Mar 14, 2022 3:53 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali mengumumkan permohonan berhenti daripada menjadi ahli PAS.

Menurutnya, surat telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengikut perlembagaan PAS.

"Merujuk perlembagaan PAS, fasal 15 (1) (a) peberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

"Maka dengan ini saya Mohd Khairuddin Aman Razali pemegang nombor keahlian PAS 313899 memohon untuk berhenti daripada  menjadi ahli PAS," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Ditanya apakah alasannya untuk meninggalkan parti, Khairuddin bagaimanapun berkata perkara itu sukar untuk dijawab.

"Alasan berhenti daripada PAS sukar untuk dijawab.

“Saya sayangkan PAS. Saya 'kekal PAS' insya-Allah tetapi bukan sebagai ahli organisasi kekal, tetapi kekal dengan matlamat perjuangan dasar dan tujuan insya-Allah.

"Sementara itu bebas, ahli parlimen bebas. Agak berat untuk saya memohon berhenti tetapi itu peruntukkan perlembagaan yang ada, memohon berhenti dengan sendiri," katanya.

Sebagai rekod Khairuddin sejak kebelakangan ini tampil mengkritik pendekatan PAS termasuk langkah pemimpin yang menyerang Umno ketika berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Dia juga sebelum ini digugurkan daripada anggota jawatankuasa (AJK) PAS.

Jawatankuasa pusat PAS juga menarik balik pencalonannya sebagai anggota Majlis Syura, menyebabkan kelayakannya sebagai setiausaha badan itu terbatal.

Sementara itu Khairuddin berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS atas peluang menjadi ahli sejak 1989 ketika berumur 16 tahun, iaitu 33 tahun.

Katanya, dia menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan sejak tahun 1999.

"Daripada AJK dan ketua pemuda PAS kawasan hingga jawatankuasa PAS Pusat dan majlis syura ulama dengan jawatan tertinggi dan terakhir sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana memberi peluang kepada saya menjadi calon dalam pilihan raya sebanyak dua kali seterusnya menjadi ahli parlimen Kuala Nerus sejak tahun 2013 dan berpeluang menimba pengalaman sebagai menteri perusahaan perladangan dan komuniti," katanya.

Lihat Komen
ADS