Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi tanding jawatan timbalan presiden PKR
Diterbitkan:  Mar 15, 2022 2:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Selepas beberapa ketika meninggalkan gelanggan politik, bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti pada Mei ini.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi yang memegang jawatan naib presiden PKR berkata dia mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik selepas kegagalan Pakatan Harapan (PH) di empat pilihan raya sebelum ini, dengan yang terbaru di Johor.

"Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas Umno/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

"Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

"Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang," katanya.

Pencalonan dijangka diadakan bulan depan manakala pemilihan parti akan berlangsung pada Mei.

Rafizi tidak aktif dalam politik selepas pemilihan kepimpinan PKR pada akhir 2018, yang menyaksikan dia tewas tipis kepada Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.

Sebelum menarik diri daripada aktif berpolitik, Rafizi dilihat sebagai tokoh berpengaruh dalam PKR dan dianggap sebagai salah seorang penasihat terdekat Anwar Ibrahim.

Dia juga terkenal kerana mendedahkan beberapa skandal yang dikaitkan dengan kerajaan BN sebelum ini, yang membawanya ke mahkamah.

Sebelum ini, Rafizi berkata dia perlu memastikan keputusan kembali ke politik berbaloi kerana PKR dan sekutunya mungkin tidak menerima pendekatan dan idea "radikal".

Suara minoriti

Rafizi juga mendakwa dia telah menyuarakan pendapatnya sejak 2019 tetapi dilayan seperti minoriti dalam kalangan kepimpinan PKR.

"Sejak 2019, saya telah menyuarakan pandangan yang tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa.

"Suara saya menjadi suara minoriti di kalangan pimpinan PKR, apatah lagi di kalangan PH,” katanua.

Susulan kerugian yang dialami dalam PRN Johor baru-baru ini, pendekatan 'khemah besar' menyatukan semua parti pembangkang telah dibincangkan oleh ahli politik PH.

"Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaksuban kepada strategi gabungan politik ini makin menjauhkan PKR dan PH dari rakyat.

"Apabila hari ini kita mengkritik dan kemudian esoknya kita berpacaran dengan orang yang kita kritik, lama-lama rakyat merasakan ini semua hanyalah drama Keluarga 69.

“Lebih-lebih lagi, apabila terlalu banyak tumpuan diberikan untuk membentuk gabungan, usaha untuk meringankan penderitaan rakyat dan menawarkan penyelesaian dilupakan,” tambahnya.

Rafizi dilihat sebagai pencabar kuat untuk jawatan timbalan presiden yang kosong, kali terakhir disandang oleh Azmin Ali, yang dipecat susulan 'Langkah Sheraton', yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Lihat Komen
ADS