Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker akan putuskan dakwaan Najib kelirukan dewan lepas respons Pua

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun akan memutuskan sama ada kenyataan Najib Razak (BN-Pekan) mengenai pembayaran balik 1MDB telah mengelirukan Parlimen selepas menerima maklum balas daripada Tony Pua (Pakatan Harapan (PH) - Damansara).

"Saya telah teliti penjelasan tersebut, ia agak tebal, dan saya telah duduk dengan (MP) Damansara mengenai penjelasan itu. Saya beri masa sedikit kepada Damansara untuk jawab," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

"Saya sudah dapat penjelasan daripada Najib, ia agak tebal. Saya sudah mengkaji penjelasan itu dan saya beri sedikit masa kepada Pua untuk menjawab penjelasan itu," katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

"Saya akan beri salinan kepada (MP) Pekan dan (MP) Damansara, jadi mereka tahu apa yang diperkatakan. Selepas mendapat jawapan daripada Damansara, saya akan buat keputusan.

Perkara agak rumit kerana ia melibatkan fakta dan butiran spesifik, dan terpaksa betul-betul saya perhatikan apa yang diperkatakan itu mengelirukan atau tidak," tambahnya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) sebelum itu bertanya mengapa Najib masih belum dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Ogos.

Najib memberitahu Dewan Rakyat pada 2 Mac bahawa tiada satu sen pun digunakan untuk membayar balik jumlah hutang prinsipal 1MDB kerana pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pula berkata kerajaan hanya membayar balik faedah yang ditanggung dalam hutang 1MDB, dan jumlah prinsipal hanya akan dibayar pada Mei, apabila bon pertama matang.

Ini mendorong Pua mengemukakan usul merujuk Najib kepada Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen kerana mengelirukan Dewan berhubung perbahasannya mengenai hutang 1MDB.

Lihat Komen
ADS