Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Warisan dakwa k'jaan pinda perlembagaan hak Sabah tak ikut prosedur

Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mendakwa pindaan perlembagaan persekutuan membabitkan hak dan kepentingan negeri Sabah dilakukan tanpa melalui prosedur yang betul.

Dia merujuk jawapan Kementerian Kewangan berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengelirukan Dewan Rakyat apabila memaklumkan hak Sabah untuk mendapatkan 40 peratus hasil kutipan cukai, yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sudah tidak terpakai.

Kata Aziz, bersama jawapan yang diterimanya, dia turut menerima dokumen berupa warta kerajaan yang dikelaskan sebagai rahsia.

“Apabila saya memeriksa pewartaan ini dalam laman web pewartaan kerajaan, kami tidak memperolehi dokumen ini, ia langsung tak diberikan kepada pengetahuan umum.

“Apabila saya memeriksa perlembagaan persekutuan, pewartaan ini melibatkan pindaan perlembagaan, di mana 40 peratus cukai yang dipungut di Sabah sudah tidak terpakai.

“Tetapi apabila saya rujuk dalam perlembagaan, tak ada langsung dipinda perlembagaan ini (dibuat) di dalam majlis ini (Dewan Rakyat),” katanya.

Sehubungan itu Azis Jamman menuntut supaya Tengku Zafrul memberikan penjelasan.

Untuk rekod, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada dua pertiga daripada ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Azis menyifatkan kejadian itu sebagai satu “perompakan” terhadap hak dan kepentingan negeri Sabah yang dilakukan kerajaan tanpa pengetahuan rakyat Sabah.

“Saya beri amaran kepada menteri kewangan, ini merupakan satu rompakan yang jelas telah melanggar perlembagaan persekutuan negara dan saya merujuk beliau untuk memberi penjelasan terhadap perkara ini,” katanya.

Dia berkata demikian ketika mencelah sebelum perbahasan RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini, mengikut peraturan mesyuarat 36(2).

Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan - Kota Belud) turut bangun membangkitkan hal sama.

Susulan itu, pemangku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor meminta mereka untuk mengemukakan rayuan secara rasmi kepada dewan.

Sebelum ini pada 22 Mac, Azis dilaporkan merujuk Tengku Zafrul ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya tentang cukai tersebut.

Katanya, jawapan Tengku Zafrul memberikan bahawa 40 peratus pungutan cukai itu sudah tidak terpakai, bercanggah dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) Maximus Ongkili bahawa pengguguran itu masih belum dibincangkan.

Lihat Komen
ADS