Paling Popular
Terkini

Selepas dipertemukan dengan tiga anaknya baru-baru ini, Loh Siew Hong membuat permohonan membatalkan pengislaman mereka yang ditukarkan'agama secara sepihak oleh bekas suaminya, yang juga seorang mualaf.

Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi.

Ketika dihubungi, peguamnya Dr Shamsher Singh Thind mengesahkan pihaknya menamakan Pendaftar Muallaf Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, dan kerajaan negeri sebagai responden.

Peguam itu menjelaskan bahawa semakan kehakiman itu perlu dibuat memandangkan Maips baru-baru ini memohon untuk mencelah prosiding perceraian antara Loh dan Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Dilaporkan majlis agama negeri itu memohon mendapat akses bagi memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga anaknya, ketika di bawah jagaan ibu 'bukan beragama Islam.

“Puan Loh terpaksa memfailkan permohonan ini kerana Maips telah memohon untuk mencelah dalam prosiding keluarga yang dimuktamadkan untuk meminda perintah hak penjagaan (yang diberikan kepada Loh oleh mahkamah sivil berhubung tiga anak itu).

"Dia terpaksa memfailkan permohonan ini kerana Maips- dalam memfailkan permohonan (sebagai pencelah) - bertindak atas anggapan bahawa kanak-kanak itu beragama Islam," kata Shamsher kepada Malaysiakini.

Menerusi permohonan semakan kehakiman itu, dia memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan pendaftaran penukaran agama anak-anaknya oleh Pendaftar Muallaf Perlis bertarikh 7 Julai 2020.

Loh memohon beberapa perisytiharan mahkamah, antaranya Nagahswaran tidak layak menukar agama anak-anak mereka kepada Islam berdasarkan peruntukan undang-undang.

Loh juga memohon perisytiharan bahawa enakmen negeri Perlis - yang membenarkan ibu bapa tunggal mengislamkan anak di bawah umur tanpa kebenaran ibu bapa yang lain - adalah tidak sah dari segi perlembagaan.

Dia memohon pengisytiharan bahawa anak kembarnya yang berumur 13 tahun dan anak lelaki yang berumur 10 tahun adalah penganut agama Hindu.

Pada 21 Feb, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence membenarkan permohonan habeas corpus oleh Loh untuk disatukan semula dengan tiga anaknya.

Permohonan habeas corpus itu menyasarkan jabatan kebajikan masyarakat dan seorang guru agama Islam yang menjaga kanak-kanak itu sebelum ini.

Nagahswaran, yang dipenjarakan atas tuduhan berkaitan dadah, mengislamkan kanak-kanak itu secara sepihak tanpa pengetahuan dan persetujuan Loh.

Ibu tunggal itu memperoleh hak penjagaan penuh tiga kanak-kanak berkenan pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini Loh juga dilaporkan berusaha untuk memfailkan permohonan berasingan bagi membatalkan penukaran agama tiga anaknya.

ADS