Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara Maips mohon jadi pencelah prosiding penceraian Loh, suami pada 29 April
Diterbitkan:  Mar 17, 2022 12:47 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 29 April ini untuk mendengar permohonan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (Maips) untuk mencelah prosiding penceraian antara ibu tunggal, Loh Siew Hong dan mualaf Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Maips memohon locus standi (asas perundangan) dalam prosiding itu agar ia dapat membuat permohonan variasi ke atas terma hak penjagaan tiga anak pasangan itu kepada Loh.

Sebelum ini adalah dilaporkan majlis agama negeri itu memohon mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga anaknya, ketika di bawah jagaan ibu bukan beragama Islam.

Dalam satu kenyataan media pagi ini, peguam Maips Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tarikh perbicaraan ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini bagi permohonan untuk mencelah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Evrol Mariette Peter.

Dia juga berkata Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah "melarang semua pihak, media arus perdana atau media sosial" daripada mendedahkan serta menerbitkan nama dan gambar ketiga-tiga kanak-kanak itu.

Peguam Zainul Rijal turut mewakili majlis agama negeri berkenaan.

Peguam A Srimurugan & Shamser Sing Thind mewakili Loh, manakala bekas suaminya tidak diwakili.

Pada 21 Februarai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk disatukan semula dengan anak-anaknya.

Nagahswaran, yang kini dipenjara atas kesalahan berkaitan dadah, didakwa menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh.

Ibu tunggal itu mendapat hak penjagaan penuh pada Disember tahun lalu.

Adalah juga dilaporkan sebelum ini bahawa Loh sedang berusaha untuk memfailkan permohonan berasingan untuk membatalkan penukaran agama unilateral atau sepihak ketiga-tiga anaknya itu.

Lihat Komen
ADS