Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri Bangladesh kata M'sia senyap berhubung perbincangan MOU buruh

Hampir empat bulan telah berlalu sejak Malaysia dan Bangladesh menandatangani perjanjian untuk membuka semula pasaran buruh, namun tiada perkembangan lanjut mengenai perbincangan untuk menyelesaikan bantahan mengenai bilangan agensi pengambilan yang dibenarkan menghantar pekerja mereka ke sini.

Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmed memberitahu Malaysiakini bahawa perbincangan dua hala selepas pemeteraian memorandum persefahaman itu terhenti sejak Januari.

“Setakat ini, ia adalah pada Januari,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada Bangladesh telah meminta untuk mengadakan mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama yang terdiri daripada pegawai daripada kedua-dua kerajaan, Imran berkata: "Kami telah memintanya. Kami tidak menerima jawapan. Sehingga kami menerima maklum balas, kami tidak tahu."

Imran berkata dia berada di Malaysia untuk menghadiri pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2022.

Walaupun Imran tidak mendedahkan butiran lanjut, Malaysiakini difahamkan bahawa perkara yang perlu dibincangkan termasuk penolakan Bangladesh terhadap permintaan Malaysia supaya hanya 25 Agensi Pengambilan Bangladesh (BRA) dan 250 sub-ejen dibenarkan menghantar pekerja mereka ke Malaysia.

Permintaan kerajaan Malaysia dan jawapan Dhaka direkodkan dalam surat-menyurat antara Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan Imran.

Surat-surat yang dilihat Malaysiakini sebelum ini dibuat selepas kedua-dua menteri (di atas) menandatangani perjanjian pengambilan buruh Malaysia-Bangladesh selama lima tahun pada 19 Dis tahun lepas, menarik balik pembekuan yang dikenakan sejak 1 Sept 2018, di bawah kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Telus dan adil

Imran, dalam surat maklum balasnya kepada Saravanan, bertarikh 18 Jan, menggesa Malaysia memastikan proses pemilihan BRA secara telus dan adil, serta menolak sebarang bentuk monopoli atau sindiket.

Imran ketika itu berkata demikian sebagai menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira), yang meminta peluang sama rata untuk semua hampir 1,600 ahlinya dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia.

Pada 10 Mac, Saravanan dilaporkan berkata Putrajaya telah menerima 200,000 permohonan untuk pekerja asing Bangladesh melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), dan apabila diluluskan, mereka akan dibenarkan bekerja di semua sektor.

Lihat Komen
ADS