Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'RUU antilompat lambat': Ada gunting dalam lipatan - Zahid
Diterbitkan:  Apr 7, 2022 9:41 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Umno parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa lompat parti apabila terdapat ahli parlimennya beralih arah sokongan selepas BN tewas pada PRU14, kata Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, rakyat akan kecewa sekiranya berlaku kelewatan dalam membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini.

"Dilaporkan dalam media bahawa kerajaan tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan RUU pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk menghalang Ahli Parlimen daripada lompat parti.

"Dengan kata lain, perundangan "antilompat" akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali, kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan.

"Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini," soalnya pada hantaran di Facebook malam tadi.

"Kini sudah tiba masanya Umno dalam kerajaan lebih tegas menangani isu ini sebelum menambahkan lagi kemarahan yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan," kata pengerusi BN itu lagi.

Menurut Zahid, rakyat Malaysia sudah lama menanti kewujudan undang-undang dilaksanakan segera kerana mandat rakyat memilih pemimpin ketika pilihan raya hilang apabila berlaku lompat parti.

“Ini adalah tamparan hebat kepada Pakatan Harapan yang menandatangani perjanjian dengan kerajaan kerana mereka tidak mampu menghadapi pilihan raya umum akan datang sekiranya parlimen dibubarkan,” tegas Zahid.

Umno tampil penyokong kuat undang-undang anti-lompat", yang dijanjikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk digubal berdasarkan salah satu isi MOU bersama Pakatan Harapan yang ditandatangani September lalu.

Sejak 2018, kedua-dua Umno dan PH telah menjadi mangsa ahli parlimennya berpaling tadah, masing-masing kehilangan 16 dan 22 ahli parlimen.

Pada mulanya, Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang telah mengusahakan rang undang-undang itu selama berbulan-bulan, berjanji untuk membentangkan undang-undang bahru itu pada 21 Mac ketika Dewan Rakyat sedang bersidang.

Bagaimanapun, kabinet menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu ke sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April.

Semalam, kabinet memutuskan untuk menukar rang undang-undang itu sama sekali.

Lihat Komen
ADS