Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee: Menteri pendidikan enggan hadir mesyuarat PSC
Diterbitkan:  Apr 20, 2022 1:44 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Pendidikan yang bermesyuarat hari ini gagal memanggil Menteri Pendidikan Radzi Jidin atau pegawai kementerian itu untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu kitar semula soalan SPM.

Ketika dihubungi, pengerus jawatankuasa Maszlee Malik mengesahkan bahawa Radzi mahupun mana-mana pegawai kementerian tidak hadir hari ini.

"Mereka memberi alasan kabinet tidak membenarkan mereka hadir," kata Maszlee kepada Malaysiakini.

Dalam kenyataan kemudian, bekas menteri pendidikan itu berkata seorang pegawai kementerian telah menjawab surat daripada setiausaha Dewan Rakyat bagi memaklumkan Parlimen yang mereka tidak dapat menghadiri mesyuarat itu.

"Bagi pihak PSC, saya ingin merakamkan kekesalan terhadap keengganan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memberi kerjasama bagi memberi penjelasan mengenai sesuatu perkara yang berkepentingan awam dan memberi impak kepada masa depan sistem pendidikan negara.

"Walau apa pun alasan yang diberikan oleh menteri kanan yang bertanggungjawab terhadap pendidikan, ia tidak boleh diterima, ia telah merendahkan kedudukan Parlimen dan tidak menghormati suara rakyat yang mahu penjelasan," kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

Maszlee berkata kegagalan untuk menghadiri mesyuarat PSC akan mewujudkan persepsi ramai bahawa kementerian itu tidak telus dalam pengurusannya.

"Keengganan menteri atau wakilnya untuk hadir juga akan menimbulkan persepsi bahawa mereka takut untuk berdepan jawatankuasa dan tidak profesional dalam tugas mereka," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Radzi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Awal bulan ini, KPM berjanji akan meneliti laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia sebelum sebarang tindakan diambil berikutan dakwaan set soalan SPM 2021 yang sama digunakan untuk sesi kedua peperiksaan.

Ini susulan beberapa pihak tampil menggesa KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia menjawab dakwaan soalan peperiksaan Bahasa Melayu (ujian mendengar) pada sesi kedua yang dikatakan sama dengan sesi pertama SPM yang telah pun dikongsi secara meluas.

Sesi kedua khas SPM adalah untuk pelajar yang tidak dapat mengambil peperiksaan sebelum ini kerana Covid-19, banjir serta mereka yang diberi pengecualian khas oleh pengarah peperiksaan.

Lihat Komen
ADS