mk-logo
Berita
Hakim Nazlan lapor polis: Tuduhan RPK 'punca kekayaannya tak jelas'
Diterbitkan:  Apr 21, 2022 2:45 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah membuat laporan polis berhubung hantaran pengarang portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa dia mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya.

Tulisan itu mendakwa Nazlan sedang disiasat kerana lebih RM1 juta yang didakwa diterimanya daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang dikaitkan dengan 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Nazlan dalam laporan polisnya menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai "palsu dan berniat jahat."

"Tuduhan tidak berasas (itu) bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman, dalam artikel tersebut.

"Laporan polis ini juga dibuat agar siasatan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan," kata kenyataan itu.

Laporan itu menggesa polis menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana Fitnah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan turut berkata ia memandang serius tuduhan dan komen sedemikian.

"(Pejabat ini) mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan mengganggu gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu pelanggaran prinsip sub judis.

"Pejabat ini juga menggesa agar pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan segera demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara serta memastikan pentadbiran keadilan dapat berjalan dengan baik," katanya.

Nazlan ialah hakim perbicaraan yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas kesalahan rasuah menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Najib dan pasukan peguamnya cuba memburukkan Nazlan - mendakwa Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang tidak didedahkan.

Hakim itu pernah menjadi penasihat undang-undang kumpulan Maybank, dan tempoh perkhidmatannya bertepatan dengan masa bank komersial itu mengeluarkan pinjaman kepada syarikat induk SRC, 1MDB.

Najib berharap bukti baru ini dapat menjamin diriny mendapat perbicaraan baru dalam kes SRC.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS