Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tolak kerjasama dengan pemimpin dibuktikan rasuah, salah guna kuasa
Diterbitkan:  May 11, 2022 9:56 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

PAS bertegas menolak kerjasama dengan dengan mereka yang dibuktikan bersalah kerana pecah amanah, salah guna kuasa serta rasuah, kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Kenyataan itu dikeluarkan PAS selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar melupakan rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) itu yang memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

"PAS juga bertegas tidak akan bersama dengan mereka yang dibuktikan bersalah melakukan tindakan pecah amanah, salah guna kuasa serta mengamalkan rasuah dalam kepimpinan mereka.

"Agenda penyatuan ummah yang dibawa oleh PAS adalah berteraskan kepada prinsip Islam memimpin. Keadilan untuk semua (termasuk kepada musuh) dan ummah sebagai keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama yang tidak ekstrem melawan Islam.

"PAS memberi jaminan bahawa PAS akan teruskan agenda penyatuan ummah ini meskipun presiden Umno menolak secara total agenda penyatuan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod Ahmad Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak antara dua pemimpin Umno yang mempunyai kes mahkamah atas dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tambah Khairil Nizam, PAS menyambut baik mana-mana pemimpin Umno yang masih mahu mempertahankan agenda penyatuan ummah.

"Untuk pemimpin Umno yang masih yakin bahawa PAS dan Umno adalah tawaran terbaik buat rakyat Malaysia, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan untuk teruskan agenda ini," katanya lagi.

Pada 8 Mei lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata kerjasama Umno dan PAS melalui MN perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN itu berkata ini kerana Umno telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung di dalam piagam MN namun tidak disepakati.

Himpunan Penyatuan Ummah Piagam MN yang dimeterai Umno dan PAS pada 14 Sept 2019 antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam serta Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

"Jadi eloklah kita lupakan saja hasrat yang dinyatakan mereka (PAS) itu," kata Ahmad Zahid.

Mengulas lanjut, Khairil berkata penyatuan ummah diakui keberkesanannya seperti yang dilihat di negeri Kedah, Perak, Selangor dan Pahang.

"Semangat kebersamaan ini juga dilihat kukuh diperingkat akar umbi meskipun pada masa yang sama ada segelintir pemimpin yang makin hilang kepercayaan serta telah putus harapan kepada usaha murni ini.

"Tahniah buat semua barisan kepimpinan PAS dan Umno di negeri-negeri tersebut dan juga untuk perdana menteri kita yang sentiasa terbuka menyokong penyatuan ummah dalam kalangan umat Islam di Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS