Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Kegagalan dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada MAC lalu mungkin bukan faktor utama Ong Kian Ming tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Bagaimanapun, ahli parlimen Bangi itu mengakui dia kecewa dengan keseluruhan keputusan pemilihan tersebut.

Jelas Ong, lebih-lebih lagi ia melibatkan beberapa pemimpin parti yang dirasakannya layak untuk berada dalam kepimpinan DAP tetapi tidak mendapat tempat.

"Saya kecewa dengan keseluruhan keputusan (pemilihan) yang melibatkan saya, Tony Pua dan Yeo Bee Yin serta mereka yang lain, yang saya rasakan layak.

"Yang dah buat banyak kerja dan menyumbang kepada CEC," katanya dalam temubual bersama Malaysiakini di Kajang, baru-baru ini.

Ong dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang sebelum ini menyokong kerjasama politik dengan kerajaan Muhyiddin Yassin tahun lalu, gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) pada pemilihan parti itu, Mac lalu.

Pua, yang juga ketua publisiti kebangsaan DAP, memperoleh 744 undi manakala Ong yang juga penolong pengarah pendidikan politik DAP, memperoleh 535.

Kedua-dua mereka ketinggalan jauh di belakang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah, Jannie Lasimbang yang mendapat tempat apabila menduduki tempat ke-30 dengan 877 undi.

Gandingan itu, mendapat kritikan hebat tahun lalu selepas mencadangkan Pakatan Harapan (PH) perlu melihat rangka kerja yang dicadangkan untuk kerjasama politik dua parti yang dikemukakan Muhyiddin yang ketika itu menjadi perdana menteri, beberapa hari sebelum dia meletak jawatan pada Ogos.

Dua lagi ahli parlimen yang turut gagal tersenarai dalam CEC ialah Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ketua Wanita yang juga Adun Padang Lalang, Chong Eng.

Mereka yang pertama kali menduduki kerusi CEC ialah Adun Ketari, Young Syefura Othman, yang juga satu-satunya calon Melayu yang dipilih untuk CEC dan Lim Hui Ying, anak perempuan kepada mentor DAP, Lim Kit Siang yang juga adik kepada Lim Guan Eng.

Guan Eng, yang meletak jawatan sebagai setiausaha agung, juga tersenarai dalam CEC dan kemudiannya dipilih sebagai pengerusi parti.

Mengulas lanjut, Ong berkata dia sudah menerima kenyataan bahawa dirinya tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan parti.

Gambar fail, MP Bangi turun ketika banjir.

"Inilah politik dan saya terima keputusannya sebagai mesej yang dihantar oleh pemimpin dan ahli-ahli kepada saya.

"Namun, ia tak bermakna saya akan meningggalkan parti atau tidak menyumbang kepada parti.

"Semoga tindakan saya mengeluarkan kenyataan ini dan terus menjadi anggota parti yang setia untuk menyokong parti akan menunjukkan kepada anggota-anggota parti serta pemimpin yang lain bahawa saya di sini bukan demi kepentingan diri tetapi demi parti dan negara," katanya.

Menurut Ong, keputusan pemilihan parti itu bukanlah sesuatu yang tidak boleh dijangka kecuali untuk beberapa orang di kalangan mereka yang tidak berjaya.

Undi kebolehan atau kesetiaan

Ini kerana sebahagaian besar daripada perwakilan mempunyai 30 undi dan akan memilih menu yang diberikan kepada mereka, jelas Ong lagi.

"Saya rasa sebahagian besar daripada perwakilan yang ada 30 undi akan memilih menu yang diberikan oleh pemimpin atau cai dan, kerana terdapat terlalu banyak nama dan mereka tidak boleh buat keputusan sendiri.

"Jadi, tentu sekali pemimpin parti mahu memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan pemilihan," katanya ketika diminta mengulas adakah dia berfikir perwakilan mengundi berdasarkan kebolehan atau kesetiaan.

Ong berkata dia juga tidak boleh bercakap bagi pihak yang turut sama tewas dalam pemilihan tesebut.

Namun, kata Ong dia beranggapan kegagalannya untuk terpilih kali ini adalah kerana cara dia mempersembahkan dirinya.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Pua tetapi saya rasa salah satu sebab saya tidak terpilih kali ini adalah kerana cara saya mempersembahkan diri saya kepada pemimpin lain dalam DAP terutama sekali di kalangan ahli parlimen yang mungkin agak terlalu agresif.

"Kerana selepas Langkah Sheraton, saya lihat terlalu banyak peluang untuk DAP mengubah imejnya dan untuk pemimpin kita menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut dan mendesak dari peringkat dalaman agar melakukan lebih banyak lagi.

"Dan saya rasa langkah ini diterjemahkan oleh sebahagaian pemimpin sebagai kurang ajar kerana sebagai seorang yang dianggap terlalu bijak atau pun terlalu berbaik pada orang lain," katanya.

Ong berkata jika ada di kalangan kepimpinan yang merasakan sebegitu maka dirinya memohon maaf.

Spekulasi pemimpin lain ikut jejak Ong

"Saya betul-betul minta maaf pada mereka dan ia bukanlah sesuatu yang orang seperti saya fikirkan memandangkan pengalaman politik saya yang kurang dua penggal.

"Namun, niat saya adalah baik dan jika DAP boleh bersatu dan melakukan perkara bersama sebagai satu parti kita akan jadi lebih kuat, imej kita juga akan jadi lebih baik pada masyarakat umum dan dalam masyarakat yang lebih besar dan akhir sekali membantu kita untuk kembali berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

"Itu juga adalah sebahagian daripada bagaimana kita boleh mengubah negara untuk jadi lebih baik," tambah Ong.

Dalam pada itu, Ong juga mengulas tanggapan yang mengaitkan dirinya dengan spekulasi bahawa lebih ramai pemimpin parti mengambil tindakan serupa ekoran pemilihan parti.

"Katakan Pua melakukan pengumuman (berehat dari politik) dia akan berada pada kedudukan sama dengan saya iaitu keputusan tersebut dibuat sebelum pemilihan parti, beliau mungkin kecewa dengan keputusan pemilihan parti seperti saya, tetapi seperti saya sebutkan dalam kenyataan media saya sebelum ini, ia bukan sebab utama saya berehat," jelasnya.

Tambah Ong, dia mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Anthony Loke sebagai setiausaha agung parti yang baru.

"Ia sesuatu yang menyedihkan buat saya kerana tidak akan mampu menyokong sebarang keputusan Anthony selepas ini selaku barisan hadapan parti.

"Walaupun saya masih menyokong beliau tapi orang mungkin tak akan nampak sokongan tersebut dengan begitu ketara kerana saya tidak berada di hadapan sebagai anggota parlimen.

“Tapi saya rasa masih mampu sokong beliau dan pemimpin-pemimpin lain dalam parti menerusi cara berbeza dan saya pasti jika Anthony mengambil keputusan sama dengan saya beliau juga akan menyokong parti dalam cara yang berbeza juga," kata Ong.

Lihat Komen
ADS