Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia mahu parti politik baru - tinjauan institut AS
Diterbitkan:  May 18, 2022 5:11 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Sebuah tinjaun mendapati rakyat Malaysia mahu melihat parti politik baru.

Menurut tinjauan oleh Institut Republik Antarabangsa (IRI) yang berpangkalan di AS, 50 peratus responden berkata mereka mahu melihat parti politik baru, manakala 44 peratus berpuas hati dengan pilihan parti sedia ada.

Enam peratus lagi tidak pasti atau enggan menjawab.

Maklum balas, yang dikumpul antara 7 hingga 24 Mac 2022, menandakan peningkatan empat peratus dalam keinginan untuk melihat parti baru dalam pilihan raya akan datang, berbanding ketika tinjauan yang sama dijalankan pada Okt 2021.

Tinjauan itu melibatkan 1,207 rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Bahagian kaji selidik IRI berkata responden adalah mewakili rakyat Malaysia, dan data itu diimbangi berdasarkan negeri, jantina, umur, etnik dan urbaniti berdasarkan anggaran 2019 oleh Jabatan Perangkaan.

Ia berkata margin untuk kesilapan tidak melebihi 2.8 mata peratusan.

Permintaan untuk parti politik baru meningkat dalam semua kumpulan umur 18 hingga 65 tahun, dengan hanya mereka yang berumur di atas 66 tahun yang kurang cenderung untuk pilihan baru.

Belia berusia 18-35 tahun mempunyai permintaan tertinggi untuk parti baru iaitu 57 peratus, manakala 52 peratus daripada mereka yang berumur 36 hingga 50 tahun mempunyai keinginan yang sama.

Bagi mereka yang berumur 51 hingga 65 tahun, separuh (50 peratus) gembira dengan parti sedia ada, manakala mereka yang berumur 66 tahun ke atas pula 63 peratus berpuas hati.

Dari segi etnik, keinginan untuk parti baru adalah paling kuat dalam kalangan kaum India (62 peratus) dan Cina (59 peratus) walaupun keinginan daripada kumpulan kedua telah menurun daripada 65 peratus pada Okt 2021.

Bagi orang Melayu, 46 peratus mahu parti baru, manakala 42 peratus Bumiputera berkongsi keinginan yang sama.

Tidak jelas mengapa permintaan untuk parti baru semakin meningkat.

Bagaimanapun, antara tinjauan Okt 2021 dan Mac 2022 oleh IRI, Malaysia menyaksikan tiga pilihan raya negeri iaitu di Melaka, Sarawak dan Johor.

Dalam ketiga-tiga pilihan raya, BN dan sekutunya GPS di Sarawak menang besar, manakala Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional mengalami kekalahan ketara.

Di Melaka dan Johor, BN memenangi majoriti besar, menguasai lebih 66 peratus kerusi walaupun memenangi kurang daripada 45 peratus undi popular.

Kemenangan utama BN terutamanya disebabkan ia mendapat manfaat daripadaa sistem pilihan raya "first-past-the-post" (FPTP).

di mana ia mampu memenangi kerusi dalam pertarungan berbilang penjuru walaupun mempunyai kurang daripada 50 peratus undi.

Kecuali Muda, parti baru pasca PRU14 yang bertanding dalam pilihan raya Johor - Pejuang, Putra, dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) - menunjukkan prestasi buruk di peti undi dan kehilangan semua deposit mereka.

Sementara itu, di sebalik peningkatan permintaan untuk parti baru, IRI menyatakan hanya 23 peratus daripada responden yang sama menyenaraikan memilih pemimpin politik berbeza sebagai alasan utama mereka mengundi pada PRU akan datang.

Majoriti (57 peratus) lebih prihatin untuk memastikan kerajaan seterusnya mendapat mandat rakyat.

Bagaimanapun, tinjauan IRI menunjukkan bahawa semangat untuk pilihan raya semakin berkurangan.

Tinjauan itu menunjukkan bahawa peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya akan datang mungkin rendah, dengan hanya 53 peratus mengatakan mereka berkemungkinan besar untuk mengundi, berbanding 57 peratus pada Okt 2021.

Sebanyak 31 peratus lagi berkata mereka "agak mungkin" untuk mengundi, menunjukkan bahawa mereka mungkin berada di atas pagar sama ada akan ke peti undi atau tidak.

Secara keseluruhan, hanya 17 peratus responden sangat berpuas hati dengan keadaan demokrasi di Malaysia, manakala 44 peratus agak berpuas hati, 27 peratus agak tidak berpuas hati, 11 peratus sangat tidak berpuas hati, dan 1 peratus tidak pasti.

Lihat Komen
ADS