Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa kongsi hasil siasatan isu kebocoran data peribadi pada awam
Diterbitkan:  May 23, 2022 4:06 PM
Dikemaskini: May 24, 2022 7:20 AM

Transparency International Malaysia (TI-M) menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan terbaru kebocoran data peribadi warga Malaysia dan penjualannya di internet.

Ia selepas laman Lowyat.net melaporkan set data dalam MyIdentity kendalian Jabatan Pendaftaran Negara yang mengandungi maklumat warga yang lahir antara 1940 hingga 2004 ditawarkan untuk dijual di sebuah forum pasaran pangkalan data.

Difahamkan sejumlah 104 agensi mendapat kebenaran untuk menggunakan pangkalan data itu.

TI-M membangkitkan penjualan data pendaftaran pengundi melibatkan empat juta warga Malaysia pada September 2021 di laman web berbeza, Raidforum - yang sejak itu telah ditutup.

"Ini bukan saja isu ancaman terhadap data peribadi yang berulang, tetapi seakan kurangnya kejelasan dan kesungguhan kerajaan untuk secara telus mendedahkan dan membincangkan penyelesaian terbaik berkenaannya," kata Presiden TI-M Muhammad Mohan dalam kenyataan hari ini.

Pada 19 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM memaklumkan siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan itu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Kamarudin Md Din dalam kenyataan mengesahkan polis telah menerima laporan berkenaan perkara itu dan memberi jaminan siasatan sewajarnya akan dibuat.

Sistem keselamatan siber yang lebih kukuh

Muhammad berkata jaminan mulut keselamatan data agensi kerajaan sahaja tidak memadai.

Dia menggesa kerajaan bersikap komited untuk menyiasat perkara itu secara telus dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai.

"Seterusnya, kabinet perlu meneliti kekurangan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan perundangan lain yang ada dan membincangkan dapatan dan cadangan penyelesaian untuk menyokong dan mengukuhkan rangka sedia ada," katanya.

Dia juga menggesa sistem keselamatan siber yang lebih kukuh digunakan untuk memastikan kebocoran seumpama itu tidak berulang.

Penjual set data itu, yang dikenali sebagai actifedot, meletakkan iklan berkenaannya di sebuah forum penggodam bernama breached.co pada 29 April lalu.

Sebagai bukti, dia mengongsikan sampel rekod didakwa milik Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan sebahagian maklumat, iaitu nombor telefon dan alamat.

Harga jualan bermula dari AS$10,000 (RM43,950).

Ini kali kedua data peribadi pengguna MyIdentity dijual sejak akhir tahun lalu. Pihak yang menjualnya kelihatan mempunyai pengetahuan berkenaan Malaysia, antaranya dengan menggunakan maklumat seorang selebriti wanita terkenal sebagai sampel.

Lihat Komen
ADS