Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penjara mengajar saya erti tak bazirkan duit rakyat'

WAWANCARA | Beberapa tahun lalu, bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo pernah menjalani hukuman penjara selepas disabit bersalah atas pertuduhan rasuah.

Mengimbas kembali perkara itu, dia berkata penjara telah mengajarnya erti tidak membazirkan duit rakyat.

Meskipun tidak gemar untuk menceritakan pengalamannya di balik tirai besi, Khir berkata lama-kelamaan dia reda dengan apa yang berlaku, percaya bahawa ia adalah ketentuan Tuhan.

“Pengalaman saya memberikan saya kesempatan untuk memikirkan terlalu banyak yang perlu dibetulkan, supaya kita tak membazir duit rakyat, supaya kita tak mensia-siakan orang yang buat silap.

“Dalam hidup ini semua orang buat silap. Tapi how big is the mistake? Dan saya rasa sama ada silap itu sengaja ataupun tidak, itu persoalan kedua.

“Tapi yang penting macam mana kita perbetulkan kesilapan itu, macam mana kita terima kesilapan itu dan macam mana kita betulkan diri kita untuk menghadapi cabaran masa depan. Itu yang paling penting,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Khir ketika menjadi MB Selangor

Pernah berkhidmat sebagai doktor gigi, Khir menggantikan Abu Hassan Omar selaku menteri besar Selangor mulai 18 Ogos 2000 sehingga 13 Mac 2008, apabila negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada PRU12.

Sejak itu, Khir menjadi ketua pembangkang DUN Selangor sebelum meletakkan jawatan akibat dakwaan rasuah pada Disember 2010.

Dia kemudian menjalani hukuman penjara 12 bulan - bermula 29 September 2015 - setelah Mahkamah Persekutuan mendapatinya bersalah menggunakan kedudukan bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam untuk dirinya dan isteri yang bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Dia bagaimanapun hanya menjalani hukuman itu selama enam bulan, apabila dibebaskan pada Mei 2016 selepas menghabiskan perintah parol yang bermula Mac tahun yang sama.

Bekas adun Sungai Panjang itu baru-baru ini menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar dan berkata dia kini lebih gemar meluangkan masa bersama penduduk di situ walaupun tidak mendapat perhatian media.

Ketika ditanya mengenai rutin seharian selain aktiviti di Sungai Besar, Khir hanya menjawab ringkas dengan mengatakan dia melakukan perniagaan berkaitan makanan, tanpa menjelaskan lebih lanjut apabila ditanya.

‘Saya ingin teruskan kehidupan seperti biasa’

Menyorot kisahnya ketika di penjara, Khir berkata penjara juga mengajarnya untuk mengubah tanggapan dalam kehidupannya, selain banyak meluangkan masa untuk membaca buku dan al-Quran.

“Perlukah kita berdendam? Bagi saya tak perlu. Berdendam itu merosakkan jiwa, memaafkan membina jiwa. Itu pasal saya tak berdendam.

“Orang boleh kata ini pendakwaan politik sebab kes saya (dibicarakan) sampai habis, kes (pengerusi kebangsaan DAP) Lim Guan Eng pula tengah jalan (kes) ditarik balik,” katanya.

Dia merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada September 2018 yang membebaskan Lim daripada dua tuduhan rasuah.

Ia berkaitan urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di bawah harga pasaran semasa. Ahli perniagaan, Phang Li Koon yang terbabit dalam kes itu juga dibebaskan

Keputusan itu dibuat kira-kira empat bulan selepas PH mentadbir negara selepas menang dalam PRU14.

“Nak rasa tak puas hati? Tapi saya rasa buat apa kita nak berdendam. Kenapa kita nak beza-bezakan diri kita dengan orang lain,” kata Khir lagi.

Katanya, dia enggan membandingkan nasib dirinya dengan kehidupan orang lain kerana sudah menerima apa yang terjadi dan ingin meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya nak bagitahu masyarakat bahawa saya banyak belajar, saya sedar apa yang silap, apa yang betul...bagi sayalah, tak mungkin untuk saya ulangi kesilapan-kesilapan yang lepas,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS