Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam bidas Bukit Aman berhubung cadangan pinda akta dadah
Diterbitkan:  Jun 13, 2022 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Lawyers For Liberty (LFL) membidas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung cadangannya supaya pemilikan 15 gram syabu perlu dijadikan sebagai kesalahan hukuman mati.

Pengarah LFL, Zaid Malek, dalam satu kenyataan hari ini, berkata terdapat percanggahan (total disconnection) antara kenyataan Ayob dan pengumuman pemansuhan hukuman mati mandatori oleh kerajaan.

“Terdapat percanggahan antara kenyataan Ayob dan pengumuman penuh bersejarah kerajaan dua hari lalu mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori.

"Inilah sebabnya mengapa agensi penguatkuasa seperti polis tidak perlu membuat kenyataan kepada awam mengenai isu dasar politik yang kontroversi seperti penggunaan hukuman mati," kata Zaid.

Dia berkata matlamat kerajaan dan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Gantung adalah untuk mengurangkan dan mengehadkan penggunaan hukuman mati dalam kes berkaitan dadah serta kes-kes lain.

"Bertentangan dengan ini, cadangan Ayob menambah satu lagi kategori baru kesalahan dadah yang boleh dihukum mati," katanya.

Dia berkata kenyataan pengarah Bukit Aman itu mengenai keputusan kerajaan Thailand menyahjenayahkan penanaman ganja sebagai 'sempit' dan 'mengelirukan'.

“Ia gagal mengambil kira hakikat bahawa menyahjenayahkan ganja adalah sebahagian daripada trend global berdasarkan bukti saintifik tentang manfaat perubatan dan kesihatannya.

“Isu mengenai penggunaan dadah dan keputusan sama ada ia perlu dibenarkan atau dijenayahkan adalah isu pelbagai aspek yang harus diserahkan kepada pakar, berdasarkan maklumat yang betul dan teliti, kajian saintifik dan penyelidikan.

“Tiada asas rasional bagi cadangan Bukit Aman bahawa memiliki 15 gram syabu harus dihukum mati,” katanya.

Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda atau menggubal beberapa akta berkaitan hukuman dadah selaras dengan perkembangan semasa salah guna bahan terlarang itu di negara ini.

Ayob Khan berkata sebagai contoh, jenis dadah yang kini banyak disalah guna penagih di negara ini ialah syabu dan pil ekstasi berbanding heroin sebelum ini.

"Sebelum ini, bagi heroin 15 gram memang hukuman gantung tetapi bagi syabu dan pil ekstasi ialah 50 gram (hukuman gantung)... jadi kita nak kurangkan lagi berat bagi syabu kepada 15 gram,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS