story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Seri Paduka: Semua agama kecam rasuah, ia bagai barah
Diterbitkan:  Jun 14, 2022 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

Memetik sebagaimana catatan sejarah Melayu ‘Sulalatus Al-Salatin’, titah Seri Paduka, Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Maharaja.

“Justeru, para mahasiswa hari ini yang bakal mewarisi tamadun negara hendaklah ditanam dan dibentuk dengan nilai jati diri yang tinggi serta karakter individu yang sentiasa jujur dan amanah,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di Shah Alam hari ini.

Jelas baginda, pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat bermula daripada bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.

Al-Sultan Abdullah yang adalah Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah usaha untuk memperkukuh integriti nasional dan etika amalan kerja yang baik oleh setiap warganegara hendaklah dipupuk dan dibentuk di setiap bilik dan dewan syarahan IPT di seluruh negara.

“Sesungguhnya prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah dan berintegriti,” titah baginda lagi seperti yang dipetik oleh Bernama.

Seri Paduka memberi amaran bahawa arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan bukan hanya membawa kesan kepada ekonomi tetapi juga membawa pelbagai impak dari segi sosiobudaya yang tanpa disedari turut meninggalkan kesan kepada sifat-sifat terpuji dan nilai-nilai moral sesuatu masyarakat.

“Justeru, para mahasiswa hari ini yang bakal mewarisi tamadun negara hendaklah ditanam dan dibentuk dengan nilai jati diri yang tinggi serta karakter individu yang sentiasa jujur dan amanah,” titah baginda.

Sultan Abdullah turut memuji memuji pencapaian graduan UiTM yang telah berjaya mencipta nama di persada dunia menerusi pencapaian akademik yang cemerlang, khususnya para graduan daripada bidang perakaunan.

“Beta juga berasa sukacita dengan prestasi dan pencapaian UiTM yang kini berada pada kedudukan yang membanggakan dalam senarai penarafan universiti di Asia dan dunia pada 2021 dan 2022.

“Beta turut berbangga dengan kejayaan 26 atlet UiTM yang terpilih untuk mewakili negara ke Temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini,” titahnya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Titah baginda mengenai rasuah dibuat ketika spekulasi bertiup kencang bahawa bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan berkaitan rasuah,mungkin memohon pengampunan diraja.

Seteru politik mendakwa Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga terlibat dalam perbicaraan rasuah, mendesak supaya pilihan raya umum awal diadakan untuk menjamin kebebasan mereka.

Najib telah diberikan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan selesai.

Baru-baru ini, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan melahirkan rasa kesal kerana bekas perdana menteri itu diundang ke istana.

Lihat Komen
ADS