Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Arul Kanda tetap tertuduh walau jadi saksi pendakwaan
Diterbitkan:  Jun 14, 2022 8:02 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, akan tetap menjadi tertuduh bersama dalam kes membabitkan pindaan laporan audit syarikat pelaburan milik negara itu, kata peguamnya.

Seorang lagi tertuduh dalam kes itu ialah bekas perdana menteri, Najib Razak.

Peguam Arul Kanda, N Sivananthan, menjelaskan hal itu berlaku walaupun tertuduh terbabit bersedia menjadi saksi pendakwaan untuk digunakan ke atas Najib.

Katanya pihak pendakwaan sedang berusaha untuk memaksa Arul Kanda memberi keterangan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Peruntukan itu membenarkan pendakwa raya memanggil tertuduh untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan jika terdapat lebih daripada seorang menjadi tertuduh dalam kes terbabit.

Kata Sivananthan memang menjadi pendirian Arul Kanda untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan sejak ia dimulakan SPRM dulu.

“Kedudukan dia dahulu dan kedudukannya sekarang ialah dia tidak sepatutnya didakwa, dan dalam konteks itu, sekiranya hakim memutuskan dia menjadi saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta SPRM (iaitu semasa masih tertuduh bersama), maka dalam keadaan itu, dia bersedia untuk memberikan keterangan selaras dengan kenyataan yang pernah dia berikan sebelum ini kepada SPRM,” kata peguam terbabit dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Arul Kanda bersedia tampil sebagai saksi pendakwaaan dan Sivananthan meneaskan bahawa anak guamnya itu akan tetap dengan kenyataannya seperti direkodkan SPRM.

Sivananthan memberitahu hal itu di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pada masa sama Sivananthan berkata Arul Kanda juga bimbang sama ada tertuduh bersama itu akan diberikan pembebasan sejurus selepas memberi keterangan atau sebaliknya.

Bagaimanapun ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, membantah cadangan tersebut kerana berpendapat Arul Kanda boleh dipengaruhi oleh pihak pendakwaan.

Kata Sahfee, pihak pendakwaan juga mungkin cuba memperkecilkan peranan Arul Kanda dalam kes berkenaan.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 24 Jun ini untuk menyampaikan keputusannya sama ada membenarkan Arul Kanda memberi keterangan terhadap Najib atau sebaliknya.

Dalam kenyataannya, Sivananthan berkata beberapa laporan media mengenai prosiding mahkamah hari ini telah mengambil kata-katanya di luar konteks.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS