Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Peguam mahu ambil tindakan undang-undang lepas polis halang berarak

Badan Peguam Malaysia sedang mengumpul bukti untuk mengambil tindakan undang-undang selepas polis bertindak menghalang ratusan peguam yang berhimpun awal hari ini di Padang Merbok, di Kuala Lumpur daripada meneruskan perarakan 'Walk for Justice' ke parlimen.

Presiden Majlis Peguam Karen Cheah berkata proses pengumpulan bukti untuk menentukan tindakan mereka seterusnya termasuklah dengan menonton rakaman dari lapangan serta temu bual dengan saksi dalam kalangan peguam yang hadir untuk perarakan itu.

"Kami tidak akan duduk diam. Kami pasti membawanya ke mahkamah," kata Cheah semasa sidang media di Majlis Peguam petang tadi, beberapa jam selepas perarakan itu dibatalkan.

“Saya tidak bersetuju polis menghalang perarakan kami.

"Saya fikir polis telah gagal dalam tugas mereka untuk memudahkan perarakan. Polis sangat berlebihan dalam tindakan mereka," katanya, memetik kehadiran polis rusuhan di tempat kejadian.

Cheah menegaskan polis telah gagal dalam tugas berkanun mereka untuk memudahkan perarakan, serta berkemungkinan melakukan tindakan tidak berperlembagaan dengan menyekat hak untuk kebebasan berhimpun.

"Akta Perhimpunan Aman (PAA) (2012) telah wujud selama 10 tahun tetapi polis masih tidak menghargai hakikat bahawa tiada permit polis diperlukan," katanya.

Cheah berkata Majlis Peguam sebagai penganjur perarakan itu telah memenuhi semua syarat di bawah akta berkenaan termasuk memaklumkan kepada polis dalam masa yang ditetapkan.

Dia berkata polis gagal bertindak balas dalam tempoh tiga hari seperti yang dinyatakan dalam akta tersebut, dan hanya memaklumkan penganjur melalui surat yang diterima semalam.

"Jika kita ikut PAA, jika polis tidak beri respons dalam tempoh tiga hari dengan sebarang syarat, kita (penganjur) berhak untuk meneruskan seolah-olah tiada syarat dikenakan," katanya.

Selanjutnya, Cheah berkata pegawai polis yang terlibat dalam dua rundingan yang gagal dengan penganjur di Padang Merbok hanya menyebut kebimbangan "keselamatan" tanpa alasan lanjut diberikan untuk menghentikan perarakan mereka.

"Saya tidak tahu keselamatan untuk apa, keselamatan untuk siapa," tambahnya.

Dia mengesahkan bahawa penganjur telah menolak "tawaran" daripada polis untuk 20 peguam berarak ke parlimen, kerana semua yang berkumpul telah menyatakan hasrat mereka untuk berarak.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyatie Samsudin, yang pada awalnya dijangka menerima memorandum daripada Majlis Peguam di Parlimen, sebaliknya hadir ke lokasi himpunan dan bertemu peguam.

Protes itu diadakan sebagai tindak balas kepada siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas sebuah blog mendakwa dia mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Nazlan, yang merupakan hakim yang sebelum ini mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas kes rasuah RM42 juta SRC International, telah membuat laporan polis menafikan tuduhan terhadapnya.

Lihat Komen
ADS