Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Abim, PKPIM gesa kerajaan sedia mekanisme tangani kos sara hidup rakyat
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 2:36 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan menyediakan mekanisme bagi menangani kos sara hidup rakyat susulan langkah menghapuskan harga siling ayam dan telur serta penamatan subsidi minyak masak botol bermula 1 Julai.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perkembangan mutakhir itu dilihat akan memberi kesan besar kepada rakyat.

"Justeru, kerajaan harus menyediakan landasan mekanisme yang komprehensif untuk persediaan rakyat berhadapan peningkatan kos-kos menjelang 1 Julai nanti.

"Pendekatan yang diambil ini bukan sahaja bersifat “one-off” tetapi dengan memastikan kitaran perekonomian rakyat dapat berjalan dengan baik.

“Mekanisme ini harus meliputi kajian mendalam membabitkan data dan jangkaan-jangkaan kerumitan yang bakal berlaku susulan pengumuman tersebut," katanya dalam kenyataan.

Muhammad Faisal mengulas pengumuman kerajaan bahawa harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan.

Semalam, Perdana Menteri ismail Sabri Yaakob berkata, program minyak masak subsidi 1 hingga 5 kilogram merupakan program sementara yang diperkenalkan sewaktu pandemik Covid-19 bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan.

Bagaimanapun Ismail berkata subsidi minyak masak berpaket masih dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.

Selain itu Ismail juga mengumumkan bantuan tambahan RM100 bagi keluarga yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM50 bagi golongan bujang susulan jangkaan kenaikan harga ayam dan telur bulan depan.

Sementara itu, Muhammad Faisal berkata pihaknya khuatir pengumuman itu akan menambahkan lagi beban rakyat ekoran peningkatan kos-kos keperluan rakyat.

Tambahnya, selain pemberian subsidi bersasar, kerajaan juga harus bertanggungjawab membantu meningkatkan pendapatan rakyat bagi menyeimbangkan kedudukan ekonomi dan peningkatan harga barang keperluan.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Firdaus Hadzir pula menegaskan kerajaan perlu mempertimbangkan bukan sahaj nasib golongan B40, malah kumpulan M40 yang kian terbeban akibat peningkatan harga barang.

"PKPIM mengulangi pendirian kami tentang kawalan terhadap harga barangan di pasaran dalam usaha pemerkasaan terhadap dasar sekuriti makanan, di mana jaminan bekalan makanan yang cukup, harga yang berpatutan serta makanan yang bernutrisi merupakan asas utama bagi dasar berkenaan," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah penyaluran bantuan kepada penerima BKM akibat maklumat yang tidak dikemaskini oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Lihat Komen
ADS