mk-logo
Berita
'KPM beri isyarat bahaya bila anggap keciciran SPM bukan isu baru'
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 9:22 AM
Dikemaskini: 9:58 AM

Kenyataan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin, bahawa isu ramai calon tidak menghadiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan perkara baru menghantar isyarat berbahaya, kata sebuah NGO.

Menurut pertubuhan Untuk Malaysia, pihak yang berkenaan sepatutnya wajib tampil memberikan penjelasan sekali gus mencari jalan penyelesaian agar keciciran yang konsisten saban tahun tidak menjadi norma baru pascapandemik.

"Gambaran yang berbahaya ini boleh memberi isyarat yang kurang sihat kepada masyarakat, iaitu seolah-olah keciciran SPM itu bukan masalah yang perlu ditangani dan diselesaikan.

"Hakikatnya gambaran ini juga menimbulkan persoalan: apakah langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengelakkan senario yang berlanjutan dari tahun ke tahun ini daripada berulang?" soal pertubuhan gerakan perubahan pendidikan itu dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu Radzi dilaporkan berkata isu ketidakhadiran calon dalam peperiksaan itu bukanlah suatu isu baru.

Malah kata menteri kanan berkenaan angka sekitar 10,000 calon tidak hadir pada peperiksaan SPM tahun lepas adalah lebih kurang sama dengan apa yang dicatatkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun beberapa faktor menyumbang kepada keputusan calon tidak menduduki peperiksaan tersebut telah dikenal pasti sebelumnya, Radiz menjelaskan, KPM akan menjalankan analisis untuk mengenal pasti pendekatan menyeluruh bagi memastikan isu berkenaan tidak berlarutan.

Untuk Malaysia berkata melihat kepada data isu berkenaan yang dipaparkan dalam Laporan Analisis Keputusan SPM pada 2019, 2020 dan 2021, ada kebimbangan serius yang perlu diberi perhatian oleh KPM.

Kata NGO itu, daripada 416,416 calon yang mendaftar pada 2019, seramai 26,918 atau 6.46 peratus daripada calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Pada 2020 pula, kata Untuk Malaysia, seramai 19,211 atau 4.79 peratus daripada 401,105 calon yang mendaftar gagal hadir untuk menduduki SPM.

"Pada masa yang sama, seramai 51,725 atau 13.28 peratus calon tidak berjaya mendapatkan sijil SPM pada 2019 dan 43,235 atau 11.32 peratus lagi tidak berjaya mendapatkan sijil SPM pada 2020.

"Persoalannya, peratusan yang konsisten untuk calon yang mendaftar tetapi tidak hadir sejak tiga tahun lepas serta peratusan yang konsisten untuk calon yang gagal mendapatkan sijil untuk tempoh sama ini memberi gambaran bahawa krisis pendidikan nasional berada pada situasi yang berbahaya untuk pertumbuhan negara di masa depan," katanya.

Tambah Untuk Malaysia, sejak 2019 sahaja, seramai 211,556 calon peperiksaan SPM dikategorikan sebagai keciciran sama ada kerana tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut atau gagal mendapatkan sijil ekoran tidak lulus subjek Bahasa Melayu ataupun Sejarah.

Lihat Komen
ADS