Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan pengerusi, pesuruhjaya baru Suhakam undang persoalan
Diterbitkan:  Jul 3, 2022 1:02 PM
Dikemaskini: Jul 5, 2022 2:06 AM

Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melahirkan rasa bimbang dan kecewa atas pelantikan pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan dua pesuruhjayanya yang dianggap tidak mencerminkan kebebasan dan nilai yang sepatutnya diwakili badan itu.

Kata Suaram dengan pelantikan tokoh daripada Umno itu keberkesanan Suhakam untuk menjalankan fungsinya dengan bebas dan bertanggungjawab kini menjadi persoalan.

"Kami berpandangan pelantikan yang dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu tidak mencerminkan kebebasan dan nilai teras Suhakam sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy hari ini .

Menurutnya, pelantikan pesuruhjaya yang menimbulkan kontroversi memang mengecewakan kerana Malaysia baru-baru ini mendapat kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dengan pelantikan di badan dunia itu kata Sevan, Malaysia sudah berjanji untuk menjadikan Suhakam sebagai badan yang memperjuangkan isu hak asasi manusia.

Sevan turut mempersoalkan kewajaran kerajaan melantik Rahmat Mohamad sebagai pengerusi Suhakam.

Rahmat Mohamad

Katanya Rahmat ialah orang yang mengarang kertas kerja untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom semasa negara ini ditadbir Pakatan Harapan dulu.

Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa ialah perjanjian yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

"Suaram mempunyai keraguan kuat bahawa Rahmat boleh menjalankan tugasnya untuk memenuhi mandat Suhakam.

"Dia seorang daripada empat ahli akademik yang bersama-sama mengarang kertas kerja untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak ratifikasi Statut Rom.

"Kertas kerja itu memainkan peranan penting dalam memaksa kerajaan PH menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang menjejaskan komitmen Malaysia dalam misi pengaman global," katanya.

Sevan Doraisamy

Tambah Sevan pandangan akademik Rahmat mengenai Statut Rom mungkin memberi kesan buruk kepada Suhakam kerana - seperti yang dinyatakan dalam Akta Suhakam - salah satu fungsi utama badan berkenaan membuat cadangan kepada kerajaan berhubung penerimaan atau penyertaan perjanjian dan instrumen hak asasi manusia antarabangsa yang lain.

Enam anggota baru Suhakam yang dilantik ialah bekas ketua Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mohamad Nordin Ibrahim; Dr Chew Chee Ming, bekas peguam negara Sabah, Mariaty Robert; peguam Hasnal Rezua Merican Habib Merican; peguam Nazira Abdul Rahim dan bekas presiden Majlis Peguam K Ragunath.

Seorang lagi pesuruhjaya ialah pensyarah undang-undang UKM Noor Aziah Mohd Awal yang dilantik semula.

Nazira ialah ketua wanita Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu dan ahli majlis Majlis Perbandaran Bandar Baharu, manakala Hasnal ialah timbalan ketua Umno Selayang.

"Suaram menegaskan bahawa pengerusi dan pesuruhjaya Suhakam harus berkecuali dari segi politik untuk memastikan badan itu kekal sebagai institusi yang bebas daripada pengaruh politik agar dapat melaksanakan tugasnya tanpa rasa takut dan pilih kasih.

"Dengan melantik dua pesuruhjaya yang mempunyai pengaruh politik yang besar, dibimbangi kuasa yang diberikan kepada Suhakam untuk menyiasat aduan hak asasi manusia dan membantu kerajaan dalam perundangan hak asasi manusia akan terjejas teruk.

"Sebagai contoh, jika kerajaan Umno didakwa terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia, soalan akan ditanya ialah keupayaan Suhakam untuk mengadakan siasatan secara bebas dan sama ada penemuan itu boleh dipercayai di mata masyarakat atau tidak," katanya.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS