Batu Talam pertandingan empat penjuru...
Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam bukanlah pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Mat Tiram dengan calon Bebas, seorang anak muda berusia 22 tahun, Ng Chee Pang.
Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam bukanlah pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Mat Tiram dengan calon Bebas, seorang anak muda berusia 22 tahun, Ng Chee Pang.
Sebenarnya, ia adalah pertandingan empat penjuru antara calon BN, calon Bebas, penduduk Batu Talam dan pembangkang yang memboikotnya kerana mendakwa sistem pilihanraya di negara ini pincang dan tidak telus.
Kerana itulah, sejak awal lagi, ia bukanlah satu pilihanraya kecil yang mudah bagi BN, sepertimana dalam pilihanraya kecil yang lainnya sebelum ini.
Selain berdepan dengan ceramah pembangkang yang menjelaskan mengapa mereka memboikot pilihanraya kecil Batu Talam, Umno yang merupakan parti komponen utama BN juga terpaksa berhadapan dengan ahli-ahlinya sendiri.
Jentera Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Batu Talam mendapati ada di kalangan ahli Umno yang tidak mahu keluar mengundi dengan alasan parti dan pihak berkuasa Felda tidak menyelesaikan masalah peneroka.
Antaranya ialah masalah permohonan pinjaman untuk membaiki rumah, bekalan tanaman baru dan sistem penjualan buah kelapa sawit kepada pihak luar, yang dibenarkan oleh Felda. Ini diakui sendiri oleh Exco Pemuda Umno, Datuk Idris Haron.
"Kita memujuk mereka supaya keluar mengundi sebagai satu latihan menjelang pilihanraya umum," kata Idris kepada malaysiakini semalam, walaupun hasrat sebenarnya ialah supaya pemilih keluar mengundi seramai mungkin untuk membuktikan boikot pembangkang gagal.
Mesej jelas
Tindakan ahli-ahli Umno yang enggan mengundi itu telah menyampai satu mesej jelas kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, supaya lebih prihatin kepada masalah rakyat setempat.
Apabila berlaku pilihanraya kecil di Batu Talam selepas kematian wakil rakyatnya dari BN, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan kerana kanser pada 27 Disember lalu, penduduknya sudah menghitung durian runtuh yang bakal terima, selain menuntut janji tertunggak BN.
Ekoran itu, mereka telah membangkitkan semula janji-janji BN untuk membina jambatan baru, bangunan sekolah baru dan pada masa yang soal kesulitan komunikasi menggunakan telefon bimbit.
Namun apabila pembangkang memboikot pilihanraya kecil tersebut, dan kemudiannya ternyata hanya calon Bebas yang mencabar BN di situ, maka jelas kekecewaan yang melanda penduduk, khususnya pengundi di situ, yang rata-ratanya memang penyokong BN sendiri.
Lantaran itulah tersebar berita yang mengatakan ramai pengundi yang tidak mahu keluar mengundi, sehinggakan jentera pilihanraya BN terpaksa melipatkan ganda usaha mengadakan kempen dari rumah ke rumah untuk memujuk mereka keluar menunai tanggungjawab itu semalam.
Kebimbangan itu jelas dapat dilihat daripada gerakan hebat jentera BN, termasuk kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang boleh dikatakan "berkampung" di situ bersama menteri-menteri kabinet yang lain.
Jelas sekali jentera BN dilanda dilema. Jika jumlah peratus pengundi rendah, ia akan diertikan bahawa pengundi terpengaruh dengan tindakan pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam.
Kubu kuat BN
Begitu juga jika majoriti yang diperolehi calon BN rendah daripada yang sebelumnya, maka ia akan diertikan bahawa sokongan untuk kerajaan sudah merosot. Begitu juga jika BN gagal menewaskan calon Bebas sehingga hilang wang pertaruhannya.
Namun semalam, semuanya telah terjawab. calon Bebas tewas hilang wang pertaruhannya. Ng hanya memperolehi 419 undi manakala calon BN, Abdul Aziz mendapat 6,276 undi.
BN telah mengekalkan kerusi Batu Talam dengan majoriti 5,857 undi bertambah 3,186 undi berbanding majoriti 2,671 undi yang diperolehinya dalam pilihanraya umum lalu.
Lalu Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata keputusan itu menunjukkan tindakan pembangkang untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam telah ditolak rakyat.
Tetapi apa yang beliau harus fikirkan sedalam-dalamnya ialah kemenangan tersebut bukan dicapai dengan mudah sepertimana dalam pilihanraya kecil yang lain-lainnya.
Persoalannya, jika benar kata Najib itu, maka mengapa BN terpaksa bekerja bertungkus lumus dalam pilihanraya kecil di kubu kuatnya sendiri, hanya berdepan dengan seorang calon Bebas, dengan Timbalan Presidennya terpaksa "berkampung" di situ sehinggalah hari pengundian semalam!
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.