Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Skateboarding' - Menarik minat kanak-kanak Orang Asli di Desa Temuan

Anuar Sidek, ahli jawatankuasa biro sukan Desa Temuan menyimpan cita-cita yang tinggi untuk menghantar kanak-kanak Orang Asli di kawasannya, Desa Temuan Damansara Perdana bermain papan selaju (skateboard) ke peringkat yang lebih serius.

Namun, pelbagai halangan yang perlu dihadapi oleh mereka seperti tiada tempat yang sesuai, usaha memujuk ibu bapa yang risau isu keselamatan dan kekurangan peruntukan untuk menampung kos sukan tersebut.

“Memang mula-mula (ibu bapa mereka) marah betul sebab takut patah tanganlah.. Jadi saya suruh mereka datang tengok (berlatih).

“Mereka makin lama, makin percaya,” katanya yang turut meminta ibu bapa mereka datang melihat sendiri anak mereka bermain papan selaju di Dewan Desa Temuan, yang terletak berdekatan kawasan komuniti itu.

Untuk meyakinkan ibu bapa mereka, Anuar pergi ke rumah mereka untuk berjumpa dengan ibu bapa yang tidak menyokong anak mereka melakukan aktiviti papan selaju itu serta meyakinkan bahawa keselamatan anak-anak mereka berada di bawah tanggungjawab jurulatih yang profesional.

Menurutnya kira-kira 10 ke 15 kanak-kanak yang terlibat berusia sembilan hingga 12 tahun, termasuk lelaki dan perempuan.

“Disebabkan ia kurang popular dan tak berkembang, jadi orang tak percaya,” katanya yang merujuk kepada permainan bola sepak dan bola jaring yang lebih popular di padang kawasan itu.

“Saya dah fikir nak bawa mereka ke peringkat lebih tinggi. Transport, saya akan cuba cari jalan untuk mereka bawa ke luar kawasan daerah ni,” kata Anuar yang bercadang untuk mengusahakan menghantar mereka ke kelas papan selaju sekiranya tiada lokasi yang sesuai untuk kanak-kanak itu bermain di kawasan itu.

Mahu kelas lebih kerap

Menceritakan kepada Malaysiakini bagaimana idea untuk mengadakan kelas papan selaju kepada anak-anak Orang Asli di situ, koordinator program Khaizan Sharizad Razak yang lebih selesa dipanggil Sherrie berkata pada mulanya mereka bercadang untuk membina taman sukan ekstrem ‘skatepark’ untuk komuniti Orang Asli Desa Temuan, serta komuniti di Damansara Perdana.

“Sehubungan dengan cadangan pembinaan skatepark di Desa Temuan, kami beranggapan bahawa adalah lebih sesuai jika kelas-kelas pengenalan skateboarding diadakan untuk anak-anak dan komuniti Desa Temuan untuk mereka mengenali sukan skateboarding tersebut.

Anuar Sidek

“Setakat ini, kami telah mengadakan tiga kelas skateboarding bagi anak-anak dan komuniti Desa Temuan di Dewan Desa Temuan dan dapat dilihat dari prestasi dan minat dari anak-anak dan komuniti Desa Temuan untuk mengadakan kelas skateboarding yang lebih kerap untuk mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sepanjang menjayakan kelas berkenaan, mereka berdepan dengan cabaran dari segi kewangan dan kebenaran menggunakan lokasi supaya ianya dapat digazetkan sebagai tapak aktiviti papan selaju, yang mana ia turut boleh digunakan oleh orang ramai.

Sherrie berkata setakat ini, pihak mereka telah mendapat tajaan peribadi sebanyak sembilan papan selaju yang telah diserahkan kepada komuniti Desa Temuan.

Kelas papan selaju - JRskates yang dimiliki oleh salah seorang jurulatihnya Joseph Romey Dures juga telah menaja dua ‘ramp’ mudah alih dan Sherrie sendiri turut menaja satu ‘rail’ untuk digunakan oleh komuniti Desa Temuan yang diletakkan di Dewan Desa Temuan.

Sherrie

Sementara itu, Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong pula menaja beberapa kelengkapan keselamatan seperti topi keledar, pad keselamatan serta makanan untuk kelas tersebut dan sedikit elaun perjalanan untuk jurulatih-jurulatih.

Namun, menurut Sherrie, mereka masih memerlukan lebih banyak papan selaju, memandangkan terdapat peningkatan peserta baru.

“Anak-anak Desa Temuan yang menyertai kelas-kelas ini juga memerlukan sumbangan kasut kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kasut untuk digunakan semasa kelas-kelas dan ini juga dapat membantu dari segi keselamatan,” katanya.

Cari kawasan sesuai

Wong yang turut memberikan sokongan penuh terhadap usaha tersebut memberitahu bahawa pihaknya sedang meneliti beberapa kawasan yang sesuai untuk dijadikan tempat bermain papan selaju. Antaranya merupakan padang berdekatan Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan, yang masih dalam perbincangan bersama Majlis Penasihat Pembangunan Kebangsaan Orang Asli (MPPKOA) Desa Temuan.

“Kalau di tempat lain, maka perlu pengangkutan. Saya telah masuk cadangan kepada pihak Pejabat Tanah Petaling untuk bantu dapatkan satu tapak di belakang Desa Temuan iaitu rizab TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang sekarang merupakan laluan Lebuhraya Dash (Damansara-Shah Alam).

“Saya difahamkan pihak (syarikat pengendali lebuhraya) Prolintas berminat membantu untuk menjayakan projek ini sebagai satu projek CSR (tanggungjawab sosial korporat).

“Permohonan untuk guna tanah rizab TNB/ lebuhraya tersebut dibangkit semasa mesyuarat jawatankuasa tanah daerah dan kita masih menunggu mesyuarat susulan untuk tahun ini,” kata wakil rakyat PKR selama tiga penggal itu.

Katanya, aktiviti papan selaju semakin lama dilihat dapat menarik minat anak muda termasuk di kalangan golongan perempuan, yang boleh dilakukan di dalam dewan dan kawasan terbuka.

“Cuma sesiapa yang mahu meningkatkan lagi kemahiran mereka, gelanggang atau tapak skateboard khas diperlukan.

“Kami juga sangat bertuah kerana pihak One Utama sedang bina satu tapak skateboard khas di Petaling Jaya. Kalau Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) atau kerajaan negeri boleh bina tapak tambahan, tu pun bagus,” katanya.

Atlet Orang Asli dalam skateboarding

Wong kagum dengan kemahiran dengan minat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak Orang Asli Desa Temuan terhadap aktiviti itu kerana mereka mampu belajar dalam masa yang amat singkat.

“Dalam masa 30 minit ada yang ingin buat 'tricks', lompat sini dan sana! Mereka ada bakat yang natural,” katanya.

Dia berkata, aktiviti papan selaju turut memberikan perasaan nostalgia, yang mengimbau semula zaman kecilnya bersama adik dan jirannya, yang turut mendorong dirinya untuk menyokong aktiviti seperti itu.

“Ini merupakan satu aktiviti yang sihat untuk kanak-kanak Orang Asli. Saya amat menghargai usaha Sherrie dan komuniti skateboarder yang meluangkan masa mereka untuk menjalankan kelas latihan untuk komuniti Orang Asli di Desa Temuan.

“Tambahan, mereka memberi peluang kepada kanak-kanak Orang Asli berjumpa dengan kanak-kanak lain di luar kampung Orang Asli dan mendedahkan mereka kepada sukan yang berbeza.

“Mungkin satu hari kita boleh lihat seorang atlet Orang Asli yang boleh berjaya dalam bidang skateboarding ini di peringkat nasional atau antarabangsa,” katanya.

Jurulatih program ini antaranya membariskan Joseph Romey Dures, perintis terawal Malaysia menyertai Asian X Games Johari Fitry Khairrudin atau lebih dikenali sebagai Joe Ipoh, Alfian Fariadi, Adlan Farazi (Boy Ipoh) dan Khalil Gibran.

Lihat Komen
ADS