Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO dakwa nyahwarta Hutan Simpan Bkt Cherakah ada unsur manipulasi
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

NGO dikaitkan dengan PKR, Otai Reformis 1998 mendakwa terdapat unsur manipulasi data berhubung rancangan pembangunan semula di Bukit Cerakah, Selangor.

Kata setiausahanya, Abdul Razak Ismail, pihaknya sangat gusar dengan tata kelola dan pengurusan warta kerajaan Selangor berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas 406.22 hektar.

“Kami berpandangan terdapat unsur manipulasi data yang sahih dan maklumat yang dibuat secara misteri serta mengelirukan oleh pihak yang menguruskan Warta Kerajaan Negeri Selangor berhubung nyahwarta hutan tersebut,” kata Razak dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Razak, dakwaan tersebut dikuatkan lagi apabila pengerusi Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACFS), Teckwyn Lim secara tidak sengaja telah memperolehi notifikasi penyahwartaan tersebut dalam warta kerajaan Selangor di dalam laman sesawang Warta Kerajaan baru-baru ini.

"Warta itu menjelaskan bahawa nyahwarta hutan tersebut telah dibuat semasa zaman British pada tahun 1927 dan hanya dikuatkuasakan setelah mendapat kelulusan MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) pada 20 November 2000.

"Secara senyap-senyap dan misteri notifikasi warta kerajaan telah dikeluarkan dan dikuatkuasakan pada 5 Mei 2022 di laman sesawangan Warta tersebut," jelasnya.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri Selangor berhubung dakwaan berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata sekiranya benar ia telah dikuatkuasakan pada tarikh tersebut, dia mempersoalkan bilakah pihak kerajaan negeri mengadakan Pendengaran Awam untuk proses bantahan dari masyarakat setempat dan orang ramai.

“Persoalannya sekarang mana mungkin notifikasi Warta Kerajaan tersebut dikuatkuasakan pada 5 Mei baru-baru ini sedangkan geran hakmilik telah dikeluarkan kepada beberapa buah syarikat Pemaju perumahan dan GLC Kerajaan Negeri sejak 20-30 tahun lalu.

"Menariknya pihak Majlis Peguam (Bar Council) pada 8 November 2021 telah memberi amaran kepada kerajaan Selangor agar akur kepada undang-undang dan proses tata kelola nyahwarta hutan tersebut kerana pihak kerajaan gagal memberikan jawapan yang memuaskan kepada orang ramai berkaitan status Hutan tersebut," jelasnya.

Pada Jan lalu, Otai Reformis menggesa Presiden PKR, Anwar Ibrahim campur tangan dalam usaha memelihara Rimba Komuniti Shah Alam (SACFS) dan Koridor Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Penduduk dan aktivis alam sekitar berkata SACFS merupakan habitat bagi flora dan fauna, termasuk spesies terancam seperti ungka tangan putih, monyet lutong dan kongkang sunda.

Persatuan SAFCS mendakwa kawasan itu termasuk dalam Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Namun exco Alam Sekitar, Hee Loy Sean berkata ia dinyahwarta pada 2006 oleh kerajaan BN terdahulu, dan dikeluarkan daripada rizab hutan simpan kekal.

Namun, Persatuan SACF mendakwa tiada notis yang diterbitkan di dalam Warta Kerajaan Negeri berkenaan penyahwartaan itu .

Pembangunan di sekitar hutan Bukit Cherakah mengundang kebimbangan penduduk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mereka bimbang pembangunan berkenaan akan menyebabkan banjir kilat kerana kawasan yang sedang dibangunkan itu berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi dengan terdapat dua buah tasik di sekitarnya.

Kawasan berkenaan dikenali sebagai Kompartmen 35 hutan Bukit Cherakah.

Laman web Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menyatakan tanah yang ditandakan sebagai Lot 57621 itu dimiliki oleh kerajaan negeri.

Rekod Pejabat Tanah dan Daerah pula menunjukkan terdapat satu pemaju yang memperoleh pajakan 99 tahun ke atas tanah itu pada 11 Ogos 2020.

Gambar satelit memaparkan kerja pembersihan tanah telah pun bermula sebelum daripada tarikh itu lagi.

Lihat Komen
ADS