Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu sudah ada dua menteri kanan apahal nak TPM lagi'
Diterbitkan:  Jul 11, 2022 3:30 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mendakwa tidak pernah wujud perbincangan jawatan timbalan perdana menteri antara Bersatu dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaacob.

Malah, katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga tidak pernah mengetahui atau dimaklumkan adanya perbincangan cadangan untuk jawatan berkenaan.

"Jawatan TPM itu, ia tidak pernah kami ahli MKT Umno ketahui ada perbincangan mengenai cadangan untuk melantik Bersatu sebagai TPM.

“MKT juga tidak pernah dimaklumkan perkara itu, oleh kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan, maka kami berpendapat isu itu tidak wujud pada kami,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online, hari ini.

Ahmad berkata, apa yang dipersetujui dan difahami adalah tidak ada jawatan timbalan perdana menteri tetapi sebaliknya, penerusan kesinambungan jawatan menteri-menteri kanan sahaja di jemaah menteri.

"Jadi dia (Bersatu) sudah ada dua menteri kanan apahal dia hendak jawatan TPM lagi. Pada ketika ini, sudah ada empat menteri kanan, dua daripada Bersatu, satu daripada Umno dan satu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Oleh kerana dia (Bersatu) sudah ada dua menteri kanan saya kira tidak wajar dia tuntut sorang lagi TPM, saya kira tuntutan jawatan TPM itu tidak wajar.

“Seperkara lagi, ahli MKT tidak pernah dimaklumkan jawatan TPM ketika Ismail Sabri menjadi perdana menteri," katanya lagi,

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata bahawa dia telah membincangkan pelantikan kabinet - termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang kosong - dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Mesyuarat itu diadakan kerana Muhyiddin dikatakan mahu jawatan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri industri perladangan dan komoditi yang baru-baru ini meninggalkan Bersatu segera digantikan dengan seorang pemimpin partinya.

Dua menteri kanan Bersatu dalam kabinet sekarang dipegang oleh Mohd Radzi Jidin dan Azmin Ali.

Sementara itu, Berita Harian juga memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa sebagai berkata, pemimpin lain tidak perlu campur tangan berhubung isu membabitkan Ismail Sabri dan Muhyiddin.

Katanya, isu itu menjadi hangat dan kelam kabut apabila ada campur tangan individu lain termasuk mereka yang tidak terbabit dalam urusan berkenaan.

"Saya rasa orang lain tidak perlu campur. Baik kita berfikir dan bercakap untuk menolong rakyat di kawasan kita.

“Tumpukan membantu rakyat, bukannya setiap hari bercakap isu politik," katanya.

Annuar mengulas gesaan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang meminta Annuar memberi penjelasan berhubung perjanjian politik antara Ismail Sabri dan Bersatu seperti yang didedahkan Ketua Penerangan, Wan Saiful Wan Jan.

Lihat Komen
ADS