Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu waris kesultanan Sulu rampas aset: Amanah lapor polis terhadap Najib

Pemuda Amanah membuat laporan polis terhadap Najib Razak, mendakwa bekas perdana menteri itu membuat kenyataan mengelirukan berhubung isu rampasan dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg oleh waris kesultanan Sulu.

Ketua Strategi Pemuda Amanah Ammar Tan berkata, laporan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 499 dan 505 Kanun Keseksaan.

"Kami membuat laporan polis terhadap Najib kerana kenyataan yang dikeluarkannya beberapa hari lalu yang menuduh pihak lain dan melepaskan diri daripada masalah yang disebabkannya ketika mentadbir negara.

"Niat kenyataan itu jelas untuk mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat, melemparkan kesalahan, dan menjejaskan kerajaan sekarang," katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Turut serta adalah dua peguam Pemuda Amanah, Fadhli Umar dan Azri Abdullah.

Azri memberikan beberapa perincian laporan polis yang dibuat, termasuk beberapa hantaran yang dibuat Najib di Facebook.

"Hantaran ini mengandungi kenyataan yang berniat memanipulasi dan mengelirukan orang ramai.

"Jika anda lihat hantarannya sejak Mac hingga dua hari lalu, dia nyatakan tuntutan daripada kesultanan Sulu hanya difailkan pada 2019, ketika PH menjadi kerajaan.

"Namun, jika anda semak rekod, anda dapat lihat dengan jelas yang prosiding bermula pada 2017, dua tahun sebelum PH menjadi kerajaan," kata Azri.

Sementara itu, Umar berkata pihaknya berpandangan bahawa hantaran Najib sebagai mengelirukan dan satu penipuan jelas.

"Hantaran ini adalah penipuan jelas...Kami harap Najib dapat berhenti bertindak seperti seorang 'tentera siber' dan tidak lagi membuat cerita palsu seperti ini," katanya.

Terdahulu, waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia dilaporkan merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pihak peguam berkata mereka merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Dalam pada itu, Azri berkata laporan polis yang dibuat tidak bermaksud mereka menyokong kesultanan Sulu.

Katanya, mereka cuma ingin orang ramai tahu bahawa apabila bayaran tidak lagi dibuat terhadap pihak kesultanan Sulu, ia merupakan kelalaian kerajaan pada masa itu.

"Tiada tindakan diambil terhadap kecuaian ini di mahkamah, yang akhirnya menyebabkan kita berdepan dengan perkara ini," kata Azri.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS