Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Warisan: Adakah Sabah masih relevan kepada kerajaan M'sia?

Selepas usul seorang ahli parlimen Warisan untuk membahaskan isu rampasan aset Petronas bernilai AS$2 bilion ditolak, Ahli Parlimen Kalabakan Ma'mun Sulaiman mempersoalkan sama ada Sabah masih relevan di mata kerajaan Malaysia.

“Saya cuma ingin tanya kepada kerajaan Malaysia sama ada Sabah masih relevan tak kepada kerajaan Malaysia?

“Kenapa asal usul sabah selalu dinafikan tapi hasil kekayaan Sabah selalu diambil di bawa ke sini (semenanjung) untuk membangunkan persekutuan Malaysia.

"Namun Sabah tetap miskin, dibiarkan mundur dan keselamatan Sabah selalu diperolok-olokan,” katanya dalam sidang media bersama beberapa ahli parlimen Warisan lain, antaranya Azis Jamman (Sepanggar) dan Rozman Isli (Labuan) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).

Mengulas lanjut, Ma’mun mendakwa isu berhubung keselamatan negeri di bawah bayu itu juga tidak diambil secara serius.

Terdahulu hari ini, tindakan speaker Azhar Harun menolak usul bagi membincangkan isu tersebut mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Azhar menolak usul tersebut daripada dibahaskan di parlimen atas alasan ia berunsur subjudis.

Bantahan demi bantahan disuarakan yang akhirnya menyebabkan Isnaraissah digantung dua hari daripada Parlimen.

Ma’mun adalah antara beberapa ahli parlimen yang mempertahankan Isnaraissah ketika kekecohan tersebut berlaku.

Ahli parlimen pembangkang lain pula menuduh Azhar mempunyai konflik kepentingan kerana abangnya iaitu Peguam Negara Idrus Harun terlibat dalam perkara itu.

Ketika sidang media, Isnaraissah mempertikaikan adakah masih belum cukup aset Petronas yang dirampas oleh pihak luar sebelum kerajaan pusat dapat bertindak dengan lebih cekap.

“Apa yang saya mahukan adalah pendirian negara, ketegasan negara untuk kita lawan tuntutan ni habis-habisan untuk kali ni, (tapi usul) ditolak.

“Sebab itu saya tanya di Dewan… barangkali Dewan benarkan untuk kita bahaskan? Tak cukup lagi aset Petronas dirampas? Mahu tunggu apa yang hilang lagi?” soalnya.

Isnaraissah Munirah Majilis

Kabinet pada 13 Julai lalu menubuhkan pasukan khas diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan bagi menangani isu tuntutan itu.

Pada 12 Julai, waris kesultanan Sulu – yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia – merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut Financial Times yang berpangkalan di London, ia melibatkan Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Petronas berkata kedua-dua aset itu sudah dilupuskan.

Rampasan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang waris kesultanan Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878.

Lihat Komen
ADS